Monday, October 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruangan bumbung dipenuhi dengan aktiviti yang menarik

    LISBON – Berdiri dengan lengan mereka terentang dibawah langit biru, cahaya matahari terpancar di wajah-wajah mereka, sekumpulan kecil perempuan sedang mengadakan kelas yoga sambil melihat kepada suasana bandar Lisbon daripada bumbung asrama pusat bandar.

    Sering disebut sebagai “Bandar Tujuh Bukit”, Lisbon dipenuhi bangunan yang berjubin merah dengan pemandangan yang menakjubkan terhadap ibu kota Portugis yang dapat dilihat sehingga ke Sungai Tagus.

    Ruangan bumbung yang pada kebiasaannya dipenuhi dengan penghawa dingin, piring satelit dan tempat menjemur kain ini sedang mengalami pengubah-suaian dan sekarang menganjurkan bar-bar mewah, kelas-kelas yoga, penayangan filem dan konsert-konsert.

    “Semuanya adalah mengenai pemandangan di Lisbon,” kata Katrin Heuser, berusia 39 tahun yang mula menawarkan kelas yoga di This Is Lisbon Hostel bila dia berpindah ke bandar tersebut dari London pada dua tahun yang lepas.

    Dia sekarang mengendalikan kelas di empat buah lokasi yang lain dengan pemandangan Lisbon yang indah dengan dibantu oleh dua orang tenaga pengajar yang lainnya. Seorang pelajar tetap yang berusia 30 tahun, pakar runding dalam IT Greek, Maria Anastasiadou mengatakan bahawa kelas yang diadakan di luar “berbeza sepenuhnya” berbanding dengan yang sebaliknya.

    Seorang lelaki sedang berlari di bumbung hotel Ritz di Lisbon.
    Pasangan suami isteri sedang menikmati matahari pagi di teres hotel Memmo Alfamma di kejiranan Alfama, Lisbon.

    “Badan dan pemikiran anda akan bergabung dengan persekitaran di sekeliling anda dan matahari,” katanya.

    “Anda akan mula merasakan cahaya matahari dan udara menyentuh kulit anda. Pemikiran anda semakin jelas, dalam bunyi asing bandar yang bercampur. Semua pancaindera anda akan berfungsi sepenuhnya.”

    Iklim Lisbon sesuai bagi melakukan pelbagai aktiviti di bumbung. Bandar di pantai barat Portugal ini adalah salah satu daripada ibu kota yang paling cerah di Eropah dengan pancaran matahari sebanyak 290 hari setahun.

    “Ia adalah tempat yang sempurna untuk melakukan pelbagai aktiviti di bumbung disebabkan oleh keadaan cuacanya,” kata Phil Llic yang telah menayangkan filem setiap malam Khamis sejak bulan Jun di bumbung restoran bar Topo Chiado.

    Tempat yang telah dibuka di belakang runtuhan biara pada tahun 2016 ini memberikan pemandangan yang lebih jelas terhadap Lif Santa Justa dan Istana Sao Jorge zaman pertengahan iaitu dua mercu tanda bersejarah Lisbon.

    Di bawah sinaran bintang-bintang, para pelanggan dapat mengagumi pemandangan dan pada masa yang sama menonton wayang yang ditayangkan pada skrin besar sambil menghirup minuman dan beristirahat pada 90 tempat duduk yang telah disediakan yang mana pada kebiasaannya akan penuh.

    “Semuanya adalah mengenai pengalaman, ia bukan sahaja mengenai wayang itu,” kata Llic, seorang yang berusia 31 tahun yang juga berpindah dari London ke Lisbon pada dua tahun yang lepas,

    seperti banyak sebelumnya yang tertarik disebabkan oleh iklim yang panas dan rentak kehidupan yang lebih perlahan.

    Dia dan rakan perniagaannya, Chris Wood, 34 tahun berasal dari Manchester, merancang untuk memperluaskan lagi penayangan filem mereka di lebih banyak bumbung pada tahun berikutnya.

    Kelihatan para pengunjung sedang menikmati kolam awam Torel di Lisbon.
    Bumbung bar Rio Maravilha dan restoran Lx Factory dipenuhi dengan orang yang ingin menyaksikan matahari terbenam.

    Four Seasons Hotel Ritz yang mempunyai 10 tingkat ini pada hujung tahun 2016 telah diperbaharui sepenuhnya dengan 400 meter (1,300 kaki) trek larian luar di bumbung dan dilengkapi dengan peralatan gim bagi membolehkan tetamu-tetamu hotel itu untuk melakukan aktiviti di luar sambil menikmati pemandangan bandar.

    Ledakan dalam menaik taraf bumbung bagi melakukan aktiviti riadah datang ketika Lisbon sedang mengalami pengunjung yang bertambah menyebabkan timbulnya dorongan untuk mengubahsuai bangunan di bandar lama yang indah ini.

    Lisbon memiliki 3.9 juta pengunjung dari luar negara dalam tahun 2016 iaitu peningkatan sebanyak 9.7 peratus daripada tahun yang sebelumnya. Aktiviti bumbung ini adalah disukai oleh penduduk tempatan.

    Tetapi Heuser yang sebenarnya berasal dari German ini mengatakan bahawa banyak daripada pelajar yoga bumbungnya adalah pengunjung dari luar negara, terutamanya dalam bulan Ogos.

    “Mereka menyukai idea itu, mereka merasakan bahawa ia adalah suatu perkara yang seronok untuk dilakukan dan satu cara yang bagus untuk menikmati permandangan,” katanya.

    Ze dos Bois (ZDB), sebuah tempat konsert, galeri seni dan bar yang bergaya di dalam istana abad ke-18 yang terletak di daerah Bairro Alto yang mana jalanan sempitnya dipenuhi dengan bar-bar dan restoran.

    Ia telah membuka ruangan bumbung teres yang terkenal yang selalu menganjurkan konsert.

    Teres tempat bukan keuntungan itu mempunyai kanopi buluh yang dihasilkan oleh tiga orang yang berasal daripada Macau yang “berkemahiran” mengenai buluh, kata pengarah komunikasi ZDB, Catarina Monteiro.

    “Pada masa ini kami memutuskan untuk tidak mempromosi ruangan tersebut, untuk menghindari ‘gembar-gembur’ mengenai bumbung itu, namun kami masih mampu menghasilkan pangkalan bagi pelanggan tetap,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda