ROTTERDAM, BELANDA, 8 MAC – Andrey Rublev berjaya merangkul gelaran perseorangan jelajah keempatnya dalam tujuh bulan ketika pemain dari Rusia itu menewaskan Marton Fucsovics 7-6 (4), 6-4 di perlawanan akhir Kejohanan Tenis Dunia ABN AMRO semalam.
Rublev meneruskan prestasi baiknya yang menjadikannya salah seorang pemain teratas dalam tenis lelaki sejak bermain kembali di tengah wabak koronavirus tahun lalu.
Sejak bulan September, beliau telah memenangi gelaran di Hamburg, St. Petersburg dan Vienna dan berada dalam pasukan Rusia yang memenangi Piala ATP bulan lalu.
“Saya sangat gembira memenangi gelaran ini,” kata Rublev.
Fucsovics cuba untuk mengatasi Rublev di set pertama perlawanan tetapi gagal mempertahankannya setelah tiebreak dan ketinggalan di pembukaan set kedua. Pemain dari Hungaria itu mengatakan bahawa beliau mempunyai minggu yang ‘sukar dipercayai’ setelah beliau berjaya melayakkan diri ke Rotterdam dan bermain dalam perlawanan ketujuh dalam masa sembilan hari.
Rublev telah memenangi tujuh kali perlawanan akhir dengan kembali ke Piala Kremlin di Moscow pada tahun 2019 serta mempunyai rekod karier 8-2 di final.

Rublev, 23 tahun, menduduki tempat kelapan dalam ranking dunia.
“Ini adalah gelaran ATP 500 keempat berturut-turut setelah meraih kemenangan di Hamburg, St Petersburg dan Vienna pada tahun lalu,” katanya.
“Marton bermain dengan penuh keyakinan, setelah mara ke peringkat kelayakan.
“Beliau bermain dalam kejohanan yang luar biasa. Ini adalah final yang sukar bagi saya kerana saya menjadi pemain pilihan. Tetapi di final, itu tidak menjadi masalah.”
Rublev kini telah memenangi 13 dari 14 perlawanannya pada tahun 2021 termasuk empat pertandingan perseorangan yang dimainkannya untuk membawa Rusia ke gelaran Piala ATP.
Satu-satunya kekalahannya adalah menentang rakan sepasukannya, Daniil Medvedev dari Rusia di suku akhir Terbuka Australia. – AP/AFP






























