SANTIAGO, 9 Jan – Persekutuan Bola Sepak Chile mengumumkan Reinaldo Rueda dari Colombia sebagai jurulatih barunya semalam.
Kontrak Rueda sah sehingga akhir persaingan kelayakan Amerika Selatan bagi Piala Dunia 2022 di Qatar, kata persekutuan itu dalam satu kenyataan.
Sebelumnya, kelab Brazil, Flamengo memaklumkan Rueda meninggalkan kelab dan membawa kakitangan bersamanya.
Jurulatih Chile sebelumnya, Juan Antonio Pizzi meninggalkan tugasan tersebut selepas kegagalan membawa juara Copa America itu ke Piala Dunia di Rusia.
Rueda dilantik oleh Flamengo pada Ogos, dan dikontrakkan sehingga Disember tahun ini.
Jurulatih Colombia itu membawa pasukan gergasi Rio de Janeiro ke final Piala Brazil dan Copa Sudamericana.
Media Chile melaporkan perundingan terhadap tugasan kebangsaan itu telah berlanjutan sejak awal Disember.
Pengerusi persekutuan bola sepak Chile, Arturo Salah berkata Rueda “memegang trajektori kesukanan peringkat tinggi”.
“Kami berharap Reinaldo Rueda mencapai objektif-objektif yang hebat bersama La Roja, dan dia membawa pengalamannya kepada semua pasukan, dari profesional sehingga remaja, memberikan pengetahuannya, gaya dan idea-idea kejurulatihan kepada semua divisyen,” kata Salah.
Rueda, 60, sudah melatih Colombia (2004-2006), Honduras (2007-2010) dan Ecuador (2010-2014). – AP