Rugi kerana terpedaya tawaran jadi isteri

KUANTAN, 8 DIS – Seorang wanita mendakwa kerugian RM1,500 selepas terpedaya dengan ‘tawaran’ untuk dijadikan isteri oleh kenalan laman sosial yang baru dikenalinya seminggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek yang dikatakan mengusahakan restoran di Johor pada 2 Disember lalu.

“Suspek pada mulanya dikatakan mempelawa mangsa untuk bekerja di restoran itu, sebelum menukar fikiran dengan menawarkan mangsa menjadi isteri dengan janji diberikan wang belanja dan segala keperluan yang diminta.

“Mangsa yang telah bercerai dengan suaminya dipercayai berminat dengan tawaran itu dan sebagai jaminan mereka akan berkahwin, suspek meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – Bernama