Rugi RM2.4 juta tanaman musnah akibat banjir

PASIR PUTEH, 4 DIS – Lebih 200 petani mendakwa mengalami kerugian lebih RM2.4 juta akibat tanaman ubi vitato, petola dan cili kulai yang diusahakan seluas 160 hektar di daerah Semerak, di sini musnah akibat ditenggelami air sejak empat hari lepas.

Ketua petani, Shamsuddin Mat Nor, 52, berkata mereka yang merupakan bekas penanam tembakau terdiri daripada lima buah kampung iaitu Kampung Haji Wan Omar, Kampung Air

Tawar, Kampung Pak Makyong, Kampung Air Terjun dan Kampung Pinggiran Aman.

“Hujan lebat empat hari lepas menyebabkan air melepasi petak tanaman dan bertakung berhari-hari sehingga pokok-pokoknya menjadi layu dan isi ubinya hampir buruk,” katanya ketika ditemui di ladang berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan parit sedia ada banyak yang tersumbat dengan sampah sarap menghalang air daripada mengalir ke Terusan Semerak, memburukkan lagi keadaan tanaman yang diusahakan hampir dua bulan lepas.

Katanya hampir 80 peratus daripada jumlah tanaman itu terdiri ubi keledek jenis vitato yang dijangka dapat dituai dalam tempoh dua minggu lagi untuk dipasarkan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pihak swasta dengan harga RM2.20 sekilogram. – Bernama

Salah seorang petani menunjukkan ubi vitato yang rosak akibat banjir. – Bernama