Rugi RM47b akibat rasuah

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Malaysia mengalami ‘kerugian’ RM47 billion daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) sepanjang tahun lepas disebabkan gejala rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata amaun yang hampir sama, yakni nilai sekitar empat peratus daripada KDNK dicatatkan hilang disebabkan rasuah setiap tahun sejak 2013 menurut Transparency International Malaysia.

“Apa yang kita boleh buat dengan RM47 billion? Ia adalah jumlah yang lebih besar daripada apa yang kita belanjakan untuk pendidikan, dan hampir dua kali ganda jumlah yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan tahun lepas.

“Bayangkan apa yang kita boleh buat jika kita ada akses kepada wang ini; jika ia digunakan untuk membaiki jalan raya yang berlubang, melegakan kesesakan di hospital awam kita atau menyediakan biasiswa kepada mereka yang layak untuk maju dalam pelajaran?

“Bayangkan jika semua golongan yang lemah dalam masyarakat kita – wanita dan kanak-kanak – tidak perlu bergantung kepada rasuah dan ‘kenal orang dalam’ untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di forum United Against Corruption: Anchoring Anti-corruption In Good Governance Forum, di sini hari ini. – Bernama