BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menerbitkan Alert List di dalam laman sesawang mereka yang mengandungi senarai syarikat-syarikat dan laman sesawang yang tidak mempunyai kebenaran untuk menawarkan perkhidmatan kewangan di bawah undang-undang dan peraturan dalam kawalan AMBD atau menjalankan mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan samada ianya menyalahi undang-undang.
Senarai ini adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti syarikat berkenaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AMBD ingin mengingatkan orang ramai bahawa hanya institusi-institusi kewangan (bank, syarikat insurans, pengendali takaful, institusi pasaran modal dan sekuriti, syarikat penukaran matawang asing dan syarikat perkhidmatan pengiriman wang dan entiti lain) yang dilesenkan oleh AMBD di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditadbir oleh AMBD dibenarkan untuk memberikan perkhidmatan kewangan di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati apabila ingin menyertai mana-mana skim pelaburan atau transaksi kewangan dan untuk terlebih dahulu mengesahkan kesahihan skim-skim pelaburan yang ditawarkan serta meneliti risiko yang berkemungkinan timbul daripada membuat pelaburan di dalam skim tersebut.
Alert List tersebut dengan senarai nama-nama individu dan institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui AMBD App. Ia boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android atau dengan melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak AMBD di talian 2233371 atau melalui emel fci@ambd.gov.bn