Rukyah anak bulan ramadan 23 april

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Mahkamah Rayuan Syariah, Negara Brunei Darussalam memaklumkan bahawa penglihatan anak bulan Ramadan bagi tahun 1441 Hijriah akan dilakukan di seluruh negara pada petang Hari Khamis, 29 Syaaban 1441 bersamaan 23 April 2020.

Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rayuan Syariah dalam kenyataannya hari ini menyatakan bahawa hakim-hakim syarie dan pegawai-pegawai mahkamah-mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan akan berada di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Kawasan yang ditetapkan adalah di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST; Bukit Agok,
Jerudong; Tanjung Batu, Pekan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Ambog, Daerah Tutong.

Pengumuman 1 Ramadan akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang hari berkenaan diperolehi melalui pemakluman yang dilakukan melalui siaran RTB.

Dengan itu, sepanjang penglihatan anak bulan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan-kawasan yang telah dimaklumkan.