Rumah banglo hampir ranap dalam kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Sebuah rumah jenis banglo di Jalan Kebangsaan Lama hampir ranap pada hari pertama Ramadan, apabila kebakaran besar berlaku di stor rumah bermula dari salah sebuah unit sewaan dipercayai akibat pendawaian berlebihan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mengatakan mereka menerima panggilan kejadian kebakaran rumah itu pada jam 8 pagi pada 25 April dan mengerahkan tiga buah jentera yang membawa 16 orang anggota bomba dari Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita yang diketuai Pemangku Pegawai Balai, Awang Mohammad Firdaus bin Yussof.

Apabila tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar membakar sebahagian stor belakang rumah yang dipercayai bermula dari Unit 6D.

Rumah itu mempunyai tiga unit diperbuat keseluruhannya daripada konkrit dan beratapkan spandek berukuran 5 meter panjang x 5 meter lebar bagi setiap bilik.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa rumah berkenaan kepunyaan seorang lelaki warganegara Brunei yang disewa oleh warga Malaysia masing-masingnya bagi Unit 6C dan 6D manakala Unit 6E didiami oleh lelaki warga Filipina.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku di Jalan Kebangsaan Lama, kelmarin. – Gambar serahan JBP

Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal api dalam masa lima minit dengan menggunakan kaedah controlled dividing breeching di mana air diperoleh daripada pili-pili bomba yang berdekatan.

Menurut kenyataan itu lagi, kebakaran dipercayai berpunca daripada penyambungan pendawaian mudah alih berlebihan yang digunakan untuk lampu LED.

Anggaran kerugian mengikut unit pintu yang terlibat ialah Unit 6C sebanyak $250 dengan kerosakan akibat air, Unit 6D sebanyak $3,500 akibat kebakaran manakala Unit 6E sebanyak $3,000 dengan kerosakan disebabkan kebakaran dan air namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Turut hadir di tempat kejadian ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan; Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SFR Haji Mustapa bin Haji Mohamad; Stesen Komander Balai Bomba Berakas, ASFR Mushidee bin Junaidi dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Undang-undang dan Penyiasatan Keselamatan Kebakaran, ASO Sulaiman bin Abdullah Awi serta ABKS 279 Soetrisno bin Shahminan.

Agensi lain yang terlibat ialah Pasukan Polis Diraja Brunei diketuai oleh Sgt 5027 Nasrul Hadi bin Haji Tuah yang disertai tiga orang anggota manakala Jabatan Perkhidmatan Elektrik diketuai oleh Awang Zaidi bin Salleh dan dua lagi kakitangan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan orang ramai menggunakan peralatan elektrik secara berhemah, jangan membuat penyambungan tanpa pengesahan, memastikan pendawaian dalam keadaan baik dan teratur, sentiasa mematikan bekalan elektrik yang tidak digunakan, memastikan mempunyai alat pemadam api dan fire blanket di rumah/ premis bagi tindakan awal sebelum api merebak.