Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Sebuah rumah jenis banglo hampir musnah keseluruhannya dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Sangai-sangai, Kampung Masin, hari ini.
Sembilan orang anggota dari Balai Bomba Pengkalan Batu dan enam orang dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi F dikerahkan ke tempat kejadian dengan diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api besar telah membakar sebahagian rumah tersebut dan turut melibatkan garaj kereta.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadamkan kebakaran tersebut.
Api dapat dikawal dalam masa 10 minit, manakala itu, punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan dan tidak ada korban jiwa dilaporkan.
Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar sentiasa memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api, pastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.
Selain itu, pastikan penyelanggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
