Rumah ceria pukau pengunjung

Oleh Nurdiyanah R.

Bagai irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan! Begitu jugalah kecintaan dalam menghias rumah yang sukar dipisahkan dalam jiwa dan hati insan ini sejak dahulu lagi.

Meskipun sudah berusia, namun daya kreativiti salah seorang lelaki warga emas yang menetap di Kampong Ayer ini mampu menghasilkan sebuah rumah ceria yang mampu memukau mata dan hati mereka yang lalu-lalang di persekitarannya.

“Apabila melihat keadaan saya sekarang yang sudah dikategorikan sebagai warga emas dan sememangnya stamina juga semakin berkurang, namun inilah masanya saya ingin berbakti kepada pihak kerajaan khususnya dalam sama-sama meningkatkan potensi pelancongan di negara ini.

“Oleh itu dengan adanya rumah penuh warna-warni ini, inilah masanya saya bangkit bersama ahli keluarga tersayang untuk sama-sama menjadikannya sebagai salah satu tempat tarikan pelancongan di sini,” kata pemilik rumah berwarna-warni itu, Awang Ahmad bin Haji Timbang, yang dikenali dengan nama istimewa, Rumah Tembikar, yang letaknya di salah sebuah kawasan perairan di ibu kota, Kampung Peramu semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Demi mengisi masa lapang

Awang Ahmad telah mendiami rumah itu semenjak kecil lagi bersama ibu bapa tersayang dan selepas berkahwin dan kini beranak cucu, semakin giat mencurahkan sentuhan daya kreati-vitinya pada persekitaran rumah termasuklah juga bahagian dalamannya secara perlahan-perlahan sejak tahun 1988 lagi.

Seindah warna pelangi yang menyinari hari, Rumah Tembikar yang letaknya di salah sebuah kawasan perairan di ibu kota, Kampung Peramu telah menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan.
Awang Ahmad sejak dahulu lagi sehingga menginjak usia emas, masih mampu mewujudkan keindahan rumah berwarna-warni yang dikenali dengan nama istimewa, Rumah Tembikar semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Awang Ahmad juga turut menyimpan barang-barang antik yang pastinya begitu istimewa untuk ristaan anak bangsa kini antaranya celapa, piring, lampu minyak, seterika arang, tindulang dan sebagainya.
Menariknya, salah sebuah tajau yang berusia lebih 100 tahun turut menjadi koleksi istimewa beliau yang dilapisi permukaannya dengan duit syiling dan dicat permukaannya agar kelihatan berkilat.

“Apabila ilham hadir semasa waktu bersantai, itulah masanya saya mencurahkan daya kreativiti dengan bahan-bahan tertentu. Lebih-lebih lagi demi mengisi masa lapang dalam kehidupan seharian,” katanya yang merupakan salah seorang pesara dalam pertukangan kayu.

Warna-warni menjadi tarikan

Seindah warna pelangi yang menyinari hari. Itulah yang dapat kita rasai apabila berada di hadapan rumah Awang Ahmad. Beliau menggunakan barangan seperti pelampung menangkap ikan dan botol plastik yang dicat dengan warna-warna terang untuk menghiasi rumahnya dari luar hingga ke dalam.

Bagaikan berada di taman bunga, ratusan pasu bunga-bungaan turut menyerikan suasana kediaman beliau. Dari bunga-bungaan segar seperti bunga kertas dan juga plastik turut menambah keceriaan suasananya, lebih-lebih lagi dengan pelbagai warna yang indah.

Barang antik untuk ristaan bersama

Dalam pada itu, Awang Ahmad juga turut menyimpan barang-barang antik yang pastinya begitu istimewa untuk ristaan anak bangsa kini. Antaranya seterika arang, celapa, lampu minyak, piring, tindulang dan sebagainya. Menariknya, salah sebuah tajau yang berusia lebih 100 tahun turut menjadi koleksi istimewa beliau yang dilapisi permukaannya dengan duit syiling dan dicat permukaannya agar kelihatan berkilat.

“Beberapa buah koleksi Tajau untuk menyimpan air pada dahulunya dan kini saya jadikan perhiasan dalam rumah. Itulah terhasilnya nama Rumah Tembikar ini iaitu berasal dari tajau sejenis tempayan atau tembikar bersaiz sederhana atau besar yang digunakan untuk menyimpan air oleh masyarakat zaman dahulu.

“Khazanah yang begitu berharga, itulah warisan budaya dan tradisi silam kita yang perlu dipertahankan bersama untuk menjadi ristaan generasi penerus di masa akan datang yang sekali gus sebagai mercu tanda yang mencorakkan bangsa keBruneian itu sendiri,” tegasnya yang kini berusia 69 tahun dengan penuh harapan yang sememangnya penggemar mengumpul barang-barang antik semenjak muda lagi hasil barang warisan serta pembelian sama ada di dalam dan juga luar negara.

Terasa begitu dihargai

Di samping itu, Awang Ahmad turut merakamkan kesyukuran dengan adanya sambutan yang amat menggalakkan dari semasa ke semasa dalam kalangan pengunjung yang bukan hanya terdiri masyarakat setempat bahkan juga dari luar negara seperti China, Jerman, Perancis, Bangladesh, Vietnam dan sebagainya.

“Terasa begitu dihargai, itulah yang saya rasai apabila menyaksikan para pengunjung datang ke rumah ini dengan penuh kegembiraan sehingga mampu merakam detik-detik terindah bersama ahli keluarga dan sanak-saudara serta sahabat-handai,” ujarnya dengan senyuman gembira ketika mengimbas kenangan manis sepanjang mengetengahkan keistimewaan rumah berkenaan, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan teguh dari agensi pelancongan.

Memartabatkan budaya dan tradisi lama

Dalam pada itu, Awang Ahmad turut menyarankan kepada masyarakat khususnya agar sentiasa menjauhi sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’. Biarlah apa yang kita lakukan sentiasa berlanjutan seiring berjalannya waktu agar apa yang diusahakan daripada titik awal dapat dirasai sehingga ke generasi seterusnya.

“Oleh itu, dengan adanya penubuhan rumah sebegini, ia bukan hanya untuk tarikan pelancongan semata-mata bahkan ia sememangnya diharap mampu membuka minda dan jiwa anak bangsa kita mengenai betapa pentingnya mengetahui budaya dan tradisi nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Segalanya memiliki keistimewaan dan keunikan yang tersendiri jika kita menyelaminya,” ucapnya dengan nada penuh ketulusan yang turut menitikberatkan keselamatan bersama bagi para pengunjung antaranya sentiasa melakukan pembaikan seperti membaiki kayu jambatan, kebersihan serta mengecat agar suasana persekitaran itu sentiasa segar dan indah mata memandang semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata baru-baru ini.