Rumah dibakar, ratusan tinggal sehelai sepinggang

GUERNICA, ARGENTINA, 30 OKT – Ratusan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas polis di Argentina membakar rumah sementara mereka semalam untuk mengusir mereka dari tanah yang dihuni semasa sekatan koronavirus.

Kira-kira 4,000 pegawai memasuki kem seluas 100 hektar di Guernica, selatan pinggir bandar ibu negara Buenos Aires, pada subuh, menimbulkan panik dan kemarahan di kalangan penduduk.

Penduduk melontar batu sementara polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata semasa konfrontasi yang berlangsung beberapa jam.

“Ia sungguh dahsyat. Penduduk menangis, kanak-kanak dan orang tua, tetapi polis tidak peduli. Polis membakar rumah, mereka membakar segala-galanya,” kata Ayda Mabel, 35, dikelilingi oleh keluarganya.

Kebanyakan rumah usang itu, dibuat daripada kepingan kayu, besi dan plastik, dibakar sementara polis merobohkan yang selebihnya.

“Mereka membakar segala-galanya. Saya mahu barang saya dikembalikan, saya amat marah. Polis memukul saya dan suami saya,” kata Axi Villafuente, 24. Keluarga tanpa rumah mula membina rumah mereka di Guernica pada akhir Julai.

Ia menjadi tempat tinggal kepada 2,500 keluarga termasuk anak kecil, walaupun ramai telah bersetuju untuk meninggalkan tempat itu sebelum operasi polis. – AFP

Polis rusuhan kelihatan berhampiran pondok yang terbakar semasa operasi pengusiran di Guernica, wilayah Buenos Aires, Argentina pada 29 Oktober 2020. – AFP