Oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Rumah sewa yang dihuni pasangan warga emas sejak kira-kira 45 tahun kini tinggal abu setelah dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Kianggeh, petang kelmarin.
Penghuninya yang berbangsa Cina dan merupakan warga Malaysia sempat menyelamatkan diri dan membawa beberapa dokumen penting.
Menurut komander dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Ishraqi bin Haji Sidup yang mengetuai operasi pemadaman kebakaran itu, seramai 13 anggota bomba dan penyelamat bersama dua jentera bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian kira-kira pada jam 6:09 petang.
Disebabkan kesukaran lokasinya, anggota bomba bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran yang merebak pantas ke seluruh rumah dan kawasan sekitarnya.
Punca kejadian kebakaran tersebut masih lagi dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).