Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Dalam kemeriahan Hari Raya Aidilfitri ini, sebuah keluarga di Kampung Pangkalan Sibabau terpaksa meninggalkan rumah apabila kediaman mereka mengalami kerosakan, kelmarin dan tidak selamat untuk didiami.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, enam orang anggota dari Balai Bomba Mentiri yang diketuai oleh Watch Komander Pasukan ‘B’, ASO Rosli bin Haji Mohd Daud, telah dikejarkan ke insiden rumah roboh berkenaan pada pukul 11:52 pagi.
Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati rumah yang dimiliki oleh warga tempatan itu tidak mempunyai tanda-tanda roboh, hanya sebahagian gelagar di bahagian bilik tamu telah patah.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa bilik tamu berkenaan mempunyai keluasan 8m panjang x 8m lebar yang diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink.
Anggota bomba bertindak memindahkan barang-barang di kawasan bilik tamu tersebut ke tempat yang selamat dan seterusnya memasang fire line.
Tidak ada korban jiwa dilaporkan.
Setakat ini bagi 2021, JBP telah pun menerima enam panggilan kecemasan yang
melibatkan rumah roboh, berbanding tahun lalu empat panggilan.

