Rumah diserbu jual daging wagyu diragui

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebuah rumah di kawasan Kampung Beribi, Gadong yang dipercayai menjual daging wagyu Jepun yang diragui kehalalannya telah diserbu dalam satu operasi yang dijalankan pegawai-pegawai penguatkuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), baru-baru ini.

Menurut kenyataan KHEU, serbuan pada 2 Disember lalu itu dibuat selepas risikan dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai mengenai penjualan daging berkenaan melalui sosial media.

Hasil serbuan telah menemukan 1.255kg daging wagyu Jepun yang dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa Permit Import Halal.

Kesemua daging tersebut dirampas dan kes akan disiasat di bawah kesalahan di bawah Bab 8 dan 9, Akta Daging Halal, Penggal 183 yang mana jika sabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga $8,000 atau kedua-duanya sekali.

Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah Pasukan Polis Diraja Brunei dan Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA).

Sehubungan itu, KHEU mengingatkan mana-mana syarikat yang hendak membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan Permit Import Halal daripada Majlis Ugama Islam di samping memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain berkaitan pengimportan daging halal.

Perkara berkenaan adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang di bawa masuk dan dijual di negara ini khususnya kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

Anggota penguatkuasaan ketika menjalankan serbuan di sebuah rumah yang dipercayai menjual daging wagyu Jepun yang diragui kehalalannya (gambar bawah).