Rumah diserbu tiada sijil sah sembelih ayam

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Sebuah rumah persendirian di Kampung Belimbing, Subok telah diserbu oleh para pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), kelmarin, berhubung aduan aktiviti penyembelihan yang mencurigakan.

Semasa operasi dijalankan pada jam 5:58 pagi, pegawai BKMH (gambar) telah mendapati 13 ekor ayam sudah siap disembelih dan disimpan dalam tiga bekas.

Siasatan awal mendapati ayam-ayam tersebut hendak diagihkan kepada orang ramai, manakala aktiviti tersebut juga didapati tidak memiliki lesen membekal, sijil halal, sijil penyembelihan dan tanda halal yang sah. Dengan ketiadaan sijil berkenaan ia dikategorikan sebagai melanggar Bab 10 Akta Daging Halal, Penggal 183 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh satu tahun atau denda sehingga $4,000 atau kedua-keduanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda sehingga $8,000.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini. Di samping itu, BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

KHEU mengucapkan terima kasih di atas maklumat tersebut dan bagi orang ramai yang ingin membuat pengaduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

Para pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi di sebuah rumah persendirian Kampung Belimbing, Subok yang menjalankan aktiviti penyembelihan mencurigakan.
Rumah persendirian yang diserbu oleh BKMH berkaitan penyembelihan tidak sah.