Rumah dua tingkat hangus

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Orang ramai sekitar kawasan Beribi dan Kiarong, terkejut menyaksikan kepulan asap gelap di langit petang kelmarin di mana sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kiarong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, panggilan mengenai kejadian itu diterima kira-kira pukul 4:19 petang.

Manakala, sebanyak empat buah jentera dari Balai Bomba Beribi, Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Balai Bomba Berakas bersama 17 orang anggota JBP yang diketuai oleh ABK 167 Pengiran Jefri telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Apabila anggota JBP tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar telah membakar keseluruhan rumah dua tingkat yang diperbuat daripada kayu di tingkat atas dan konkrit di tingkat bawah, yang mana api berjaya dikawal dalam masa 10 minit.

Kebakaran itu juga menyebabkan sebuah kereta mengalami kerosakan akibat bahang daripada api kebakaran.

Anggota JBP bertungkus lumus mengawal dan memadam kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Kiarong, petang kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, pemilik rumah berkenaan adalah seorang lelaki warga Negara Brunei Darussalam bersama 10 orang penghuni di mana kesemua mereka dalam keadaan selamat.

Hasil daripada siasatan pihak JBP, punca api dipercayai daripada elektrik yang sudah usang dan penggunaan elektrik yang berlebihan dan kerugian rumah serta harta benda dianggarkan kira-kira $70,000.

Dalam hubungan itu, pihak JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan tidak menggunakan elektrik sehingga lebih bebanan, memastikan pendawaian dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan dengan menggunakan syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Mereka juga disarankan untuk memastikan rumah dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, selimut api atau alat pengesan asap serta jika berlaku sebarang insiden kecemasan mereka hendaklah berhubung terus ke Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.