‘Rumah Impian mampu dimiliki’

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Dalam usaha untuk memperkasa lebih ramai warga Brunei menjadi pemilik rumah, Bank Baiduri telah melancarkan promosi ‘Miliki Rumah Impian Anda’ yang menawarkan penjimatan besar ke atas pemilikan rumah atau pinjaman pembiayaan semula.

Menurut kenyataan yang diterima dari Bank Baiduri hari ini, sehingga akhir Julai, permohonan yang berjaya untuk pinjaman pemilikan rumah atau pinjaman pembiayaan rumah dengan Bank Baiduri akan menerima subsidi jika gaji mereka dimasukkan dalam Bank Baiduri. Mereka boleh meminjam sehingga 93 peratus daripada nilai harta pada kadar faedah rendah.

Subsidi turut diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai gaji yang dimasukkan dalam akaun Bank Baiduri dan pemohon boleh meminjam sehingga 83 peratus daripada nilai harta pada kadar faedah rendah.

Ketua Perbankan Runcit, Lim Kian Chong, berkata, “Kami memahami apabila membeli sesebuah rumah, terutamanya untuk pemilik rumah pertama, boleh menjadi satu tugas mencabar. Ia merupakan pelaburan jangka panjang dan selalunya merupakan pembelian paling mahal seumur hidup mereka. Dengan tawaran ini, kami menyediakan penjimatan besar, menjadikan proses memiliki rumah lebih mudah diakses, lebih mampu dan bernilai tambah.”

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi Bank Baiduri, bolehlah menghubungi talian Bantuan Pelanggan 24 jam, melayari laman sesawang atau mengikuti platform media sosial bank berkenaan.