Rumah jalani perkhidmatan rawatan kecantikan diserbu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Sebuah rumah sewa di kawasan Kampung Orang Kaya Besar Imas yang dijadikan sebagai tempat bagi menjalani perkhidmatan rawatan kecantikan telah diserbu oleh agensi penguatkuasa undang-undang kerana didapati menyalahi aturan-aturan kesihatan dan perubatan di negara ini.

Operasi yang dijalankan bersama Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Kementerian Kesihatan petang tadi adalah hasil maklumat yang diperolehi berkenaan perkhidmatan yang dijalankan dengan cara yang salah dan dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kebenaran atau lesen dari mana-mana pihak berwajib di negara ini.

Semasa serbuan itu juga, beberapa peralatan, ubat-ubatan dan produk kesihatan yang digunakan ketika proses rawatan pelanggannya turut dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Perkhidmatan tersebut dipercayai mula beroperasi sejak setahun yang lalu dan menawarkan pelbagai khidmat rawatan kecantikan seperti pengubahsuaian payudara, wajah, punggung, rawatan pemutihan dan rawatan pelangsingan.

Walau bagaimanapun, implikasi daripada kegiatan ini dipercayai boleh memudaratkan dan membahayakan kesihatan serta nyawa orang yang menerima rawatan tersebut.

Semua perkhidmatan rawatan yang dijalankan itu boleh menjadi kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengamal-pengamal Perubatan dan Doktor Gigi Penggal 112, Akta Racun 1956 dan Perintah Ubat 2007.

Antara barangan yang dirampas semasa serbuan tersebut dijalankan.
Rumah yang menawarkan rawatan kecantikan telah diserbu oleh agensi penguatkuasa undang-undang, kelmarin.