Rumah lebih selesa untuk golongan miskin

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Dalam usaha memeduli kesejahteraan dan kebajikan golongan daif, fakir dan miskin untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan sempurna, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) membiayai pembinaan 18 buah rumah bagi golongan ini.

Rumah-rumah ini dibina dengan kos keseluruhan $958,156 daripada Kumpulan Wang Zakat terdiri daripada 15 buah rumah bantuan golongan daif, fakir dan miskin di Kampung Tagap Kawasan II, Mukim Sengkurong dan tiga buah rumah bantuan masing-masing di Kampung Parit, Kampung Junjongan dan Kampung Lumapas.

Sehubungan itu, daripada 18 orang penerima ini, seramai 15 orang menerima sijil-sijil rumah bantuan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB, hari ini.

Yang Berhormat Pehin juga meninjau beberapa buah rumah penerima di Kampung Tagap dan Kampung Parit, Kampung Junjongan serta Kampung Lumapas. Turut melakukan tinjauan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohimin bin Johari@Johari dan Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU dan ahli jawatankuasa zakat, pegawai-pegawai kanan KHEU dan ketua-ketua kampung terbabit.

Yang Berhormat Pehin dan rombongan meninjau salah sebuah rumah bantuan di Kampung Tagap.
Yang Berhormat Pehin dan rombongan meninjau salah sebuah rumah bantuan di Kampung Tagap.

Projek bantuan membina rumah bagi golongan daif, fakir dan miskin ini merupakan usaha sama beberapa buah agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop ketika ditemu bual mengatakan sebanyak 85 buah rumah telah siap termasuk yang diserahkan hari ini dan pada masa akan datang, MUIB merancang membina lebih banyak lagi rumah seumpamanya.

Menurutnya, MUIB menyediakan peruntukan untuk membiayai pembinaan rumah-rumah ini agar golongan daif, fakir dan miskin dapat hidup lebih selesa, kerana ada antara mereka tidak layak memohon perumahan negara atau skim tanah kurnia dan melalui agihan zakat ini, mereka berpeluang mempunyai rumah sendiri. Manakala salah seorang penerima, Awang Mohd Taib bin Haji Yahya yang menerima rumah bantuan di Kampung Tagap, melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada MUIB dan kerajaan Baginda Sultan atas bantuan yang diberikan setelah lapan tahun menunggu.

Begitu juga Awang Kamal bin Haji Mohd Yassin yang hanya menyewa rumah dan sudah lima kali berpindah, melahirkan rasa syukur selepas penantian lama keluarga mereka berakhir apabila mendapat bantuan rumah. “Akhirnya kami dapat tinggal dengan tenang dan selesa dengan adanya rumah baru ini, alhamdulillah,” katanya.