Rumah Merah juara sukan tahunan KUPU SB

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – ‘Rumah Merah’ dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Pertemuan Sukan Tahunan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) 2021 yang diadakan di Padang Balapan Tentera Udara Diraja Brunei.

Hadir sebagai tetamu kehormat pada acara yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti itu ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Besar yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzimin bin Haji Abang Taha, Pemangku Penolong Ra’es, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai, pensyarah dan pelajar KUPU SB.

Sukan tahunan tersebut dimulakan dengan perarakan lalu yang disertai oleh Kadet Polis diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asmaul Husna dan nyanyian lagu kebangsaan dan ucapan pelancaran daripada tetamu kehormat.

Antara sukan yang dipertandingkan dalam acara tersebut ialah bola sepak, sot put, lembing, lompat jauh, larian 100m dan 400m dan banyak lagi.

Selain mengukuhkan hubungan antara pelajar, pensyarah dan kakitangan KUPU SB, pertemuan sukan tahunan itu juga dihasrat dapat memupuk semangat dan kerja berpasukan, persaingan sihat dan profesional serta mencari bakat yang berpotensi untuk mewakili universiti dalam sukan di peringkat tempatan dan di luar negara. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk sentiasa bersemangat dengan melibatkan diri dalam apa sahaja aktiviti sukan.

Tetamu kehormat ketika mengalungkan pingat kepada para pemenang.