Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Rumah Merah dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara sukan tahunan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bagi tahun 2023 yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat dan hadiah kepada para pemenang.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asma Ul-Husna dan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan serta bacaan doa khas KUPU SB. Acara dilanjutkan dengan senaman ringan dan berjalan pantas bagi seluruh warga KUPU SB.
Selanjutnya, acara perarakan rumah-rumah sukan iaitu rumah Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB diadakan.
Majlis kemuncak sukan tahunan diserikan lagi dengan pertandingan larian 4x100m dalam kalangan institusi pengajian tinggi tempatan. Pertandingan tersebut dijuarai oleh Pasukan Universiti Teknologi Brunei. Sementara KUPU SB A serta KUPU SB B di tempat kedua dan ketiga.
Antara acara sukan yang dipertandingkan termasuk perlawanan sukan bola jaring, bulu tangkis, memanah, sepak takraw, tarik kalat, biliard, boling, catur, dodgeball, futsal dan pingpong.
Antara objektif acara berkenaan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan ukhwah fillah sesama pelajar, pensyarah dan kakitangan KUPU SB serta memupuk semangat berpasukan, kerjasama serta bersaing secara sihat dan profesional antara warga KUPU SB dalam pertandingan rumah-rumah sukan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti pemain-pemain yang berbakat dan berpotensi bagi mewakili KUPU SB di pertandingan peringkat universiti, dalam dan luar negara. Seterusnya, meningkatkan motivasi pelajar untuk sentiasa bersemangat dengan melibatkan diri dalam apa juga aktiviti sukan.
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra’es, Dr Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar, pegawai-pegawai utama, pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.
