Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah musnah dijilat api

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Kepulan asap tebal yang kelihatan sehingga beberapa kilometer mengejutkan penduduk di sekitar Serusop pagi tadi di mana sebuah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pancha Delima 2.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, seramai 18 orang anggota dari Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita, Cawangan Operasi C serta bantuan dari Balai Bomba Beribi, Cawangan Operasi A yang diketuai oleh SO Norhermi bin Mohd Nor, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8:03 pagi.

    Kenyataan menyatakan, rumah yang diperbuat daripada dinding dan atap zink serta berlantaikan papan itu telah terbakar keseluruhannya.

    Rumah berkenaan merupakan milik warganegara tempatan dan disewakan kepada enam orang warganegara Indonesia di mana kesemua penghuni rumah itu telah selamat keluar dari rumah berkenaan sebelum jentera bomba sampai.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak untuk memadam kebakaran dengan menggunakan lima hos serta menggunakan kaedah control dividing breeching dan dua pasukan memakai alat pernafasan untuk memadam kebakaran.

    Kenyataan menjelaskan bahawa air diperoleh dari jentera dan pili-pili bomba yang berdekatan di mana api berjaya dikawal dalam masa 7 minit.

    Dalam kejadian berkenaan, tidak ada sebarang korban jiwa dan kecederaan berlaku di mana punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas untuk memastikan membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadam kebakaran pada kejadian yang berlaku di Kampung Pancha Delima 2, kelmarin.
    Api besar dilihat membakar sebuah rumah yang diperbuat daripada dinding dan atap zink serta berlantaikan papan di Kampung Pancha Delima 2, kelmarin.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda