Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Sejahtera 119/2022 di kawasan Kampung Menglait pada 17 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, hasil operasi berkenaan telah mendapati kesalahan di bawah Bab 80, Perintah Pekerjaan 2009 iaitu majikan gagal menyediakan tempat tinggal dan pengurusan kebersihan persekitaran dan Bab 81, Perintah Pekerjaan 2009 iaitu tempat tinggal tidak menurut peruntukan-peruntukan sebarang undang-undang yang bertulis.
Semasa operasi itu, sebuah tempat tinggal pekerja asing di kawasan Kampung Menglait yang didiami oleh 12 orang telah didapati berada dalam keadaan tidak teratur dari segi kebersihan serta tidak selamat untuk didiami. Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.
Majikan juga diarahkan untuk memindahkan pekerja-pekerja berkenaan ke tempat tinggal yang memenuhi piawaian minimum seperti mana yang telah digariskan oleh Jabatan Buruh.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.