Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sebuah rumah pekerja 12 unit pintu dan sebuah kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Senukoh, Temburong pagi, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini, seramai sembilan orang anggota dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh ASO Lain Anak Asun telah dikerahkan ke insiden kebakaran itu pada jam 7:43 pagi.
Apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat panggilan, didapati api besar membakar keseluruhan 12 unit pintu rumah pekerja yang diperbuat daripada kayu dan sebuah kereta.
Anggota bomba segera bertindak memadam kebakaran menggunakan dua jet hos dengan api dapat dikawal dalam masa 5 minit.
Hadir di tempat kejadian ialah Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah, Pegawai Operasi, SSFR Mohammad Zakwan bin Awang Idris dan Pemangku Timbalan Pemerintah Operasi G, SO Jamaludin bin Ahmad.
Turut berada di tempat kejadian ialah Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Haji Sulaiman bin Nassir serta Bahagian Air Jabatan Kerja Raya Temburong yang turut membantu membekalkan air semasa operasi.
JBP menyatakan lagi bahawa api dapat dikawal daripada merebak dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian berkenaan dengan punca serta kerugian masih dalam siasatan.