Rumah Pemancha juara sukan tahunan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Pasukan Rumah Pemancha juara secara keseluruhan selepas berjaya mengutip 11 emas, sembilan perak dan dua gangsa dalam acara Sukan Tahunan Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Umar Al-Khattab yang berlangsung di Kompleks Sukan Balapan dan Padang, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, di tempat kedua disandang oleh Rumah Bendahara dengan mengutip tujuh emas, tujuh perak dan 12 gangsa manakala Rumah Temenggong muncul di tempat ketiga dengan kutipan lima emas, 12 perak dan tujuh gangsa.

Di tempat keempat pula disandang oleh Rumah Digadong selepas mengutip lima emas dan tujuh gangsa. Hadir selaku tetamu kehormat dalam acara ini ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Haji Ramlan bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengetua SM Sayyidina Umar Al-Khattab, Dayang Sinasuria binti Haji Ibrahim, timbalan-timbalan pengetua, guru-guru dan para pelajar bagi sama-sama memeriahkan dan memberikan sokongan kepada pelajar dan guru yang menyertai acara tersebut.

Terdahulu, acara perbarisan yang disertai oleh kontinjen kadet tentera dan pasukan daripada semua rumah sukan membuka tirai persembahan.

Melalui acara seumpama ini diharap dapat meningkatkan kecergasan mental dan fizikal pelajar, selain mencungkil bakat sukan, serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dengan guru.

Para pemenang bergambar ramai semasa acara Sukan Tahunan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab yang berlangsung di Kompleks Sukan Balapan dan Padang.