Sunday, October 2, 2022
33.3 C
Brunei

Rumah perahu bakal lenyap ditelan arus pemodenan

-

KAHERAH – Puluhan rumah terapung beraneka warna menghiasi pemandangan tebing Sungai Nil berdekad-dekad lamanya, menawarkan suasana hening di tengah-tengah kesibukan ibu kota Mesir – akan tetapi segala-galanya bakal lenyap tidak lama lagi.

Penghuni kira-kira 30 buah rumah perahu yang masih bertambat di tebing Nil menerima perintah pengusiran pada minggu lalu, memberikan mereka masa kurang dua minggu sebelum rumah mereka akan ditunda atau dirobohkan.

“Membeli rumah perahu ini merupakan impian saya,” beritahu penulis novel British-Mesir Ahdaf Soueif kepada AFP. “Saya menghiasinya dengan kelengkapan untuk cucu saya dan menghabiskan sisa-sisa usia saya di sini,” ujarnya.

Bot itu telah lama menghuni tempat istimewa dalam hati penduduk Mesir, setelah menjadi tajuk perbualan utama dalam rancangan ‘Chitchat on the Nile’ oleh pemenang Hadiah Nobel Naguib Mahfouz, serta muncul dalam pelbagai filem klasik era kegemilangan Mesir.

Namun ketika ramai telah berkempen untuk melindungi rumah perahu disebabkan nilai sejarahnya, pihak berkuasa telah mempertikaikan pemandangan rumah yang menyakitkan mata itu dalam menghalang rancangan pembangunan kerajaan.

Omar Robert Hamilton menggunakan komputer riba ketika duduk di beranda rumah perahunya di daerah Agouza, tebing sungai Nil. – AFP
Salah sebuah rumah bot yang berlabuh di salah satu tebing sungai Nil di antara daerah Zamalek dan daerah Agouza ditunda oleh pihak berkuasa pada 27 Jun 2022. – AFP

Rumah perahu kelihatan bertambat di tebing Giza di daerah Agouza. – AFP

Penghuninya tidak ditawarkan penginapan alternatif atau pampasan, tidak seperti penduduk lain yang berdepan pengusiran sebelum ini, dan ramai tidak mempunyai tempat tinggal lain.

Bagi Manar, seorang jurutera berusia 35 tahun yang menghabiskan kesemua wang simpanannya untuk membeli rumah perahu empat tahun lalu, arahan perpindahan memberi tamparan hebat kepadanya.

“Saya menjual pangsapuri saya, bapa saya menjual keretanya, dan kami menggunakan elaun bersara kedua-dua ibu bapa saya,” kata Manar.

“Penduduk dari kawasan setinggan telah diberi tempat tinggal lain, malah kerajaan memindahkan kubur apabila ia membina jalan raya menerusi tanah perkuburan, tetapi bagi kami, tiada pampasan langsung.”

Kurang seminggu selepas arahan pengusiran dikeluarkan, sesetengah bot telah pun ditunda dan dikenakan kompaun di negeri marina, meskipun petisyen serta kempen dan pengacara televisyen prokerajaan.

Tidak lama lagi, pemandangan rumah berkenaan, bertenggek di atas kaison besi di sepanjang tebing kawasan penduduk kelas kerja Imbaba yang bertentangan dengan pulau mewah Zamalek, akan menjadi satu kenangan.

Amaran pertama keluar pada 2020, apabila gabenor Kaherah ‘menggantung kebenaran meletak rumah perahu baharu.’

Sejak itu, penghuni tidak menerima sebarang berita, sehingga arahan perpindahan keluar pada 20 Jun, meninggalkan mereka ‘masa suntuk untuk memfailkan rayuan,’ kata seorang penghuni.

Menambah tekanan yang dihadapi, pihak berkuasa telah menuntut yuran penempatan dan pendaftaran berjumlah antara 400,000 dan satu juta pound setiap penghuni (AS$21,000 hingga AS$53,000) – kira-kira 20 kali lebih tinggi daripada bayaran tahunan sebelumnya.

Ayman Anwar, ketua Pusat Pentadbiran untuk Perlindungan Sungai Nil di Kaherah, berkata penduduk diberikan masa yang cukup untuk berpindah.

“Pada 2020, kerajaan mengharamkan penggunaan kapal baj sebagai tempat tinggal, kerana ia mewujudkan pemandangan yang tidak bertamadun dan mencemari Sungai Nil,” kata beliau semasa rancangan temu bual pada minggu ini.

Proses itu juga sama dengan pengusiran dan perobohan yang dilaksanakan sebelumnya di kawasan tengah Kaherah, seperti Bulaq dan Maspero.

Namun, ketika rumah bot mungkin bermula di penempatan miskin, pembangunan tersebut kini telah merebak ke kawasan perumahan mewah.

Satu-satunya alternatif adalah mengubah setiap rumah perahu kepada perusahaan komersial.

“Pada usia saya, untuk menjadi pengurus kafe? Ia adalah pengusiran paksa, tidak kira apa yang awda katakan,” ujar Soueif, yang berumur dalam lingkungan 70an.

Tebing Nil pada satu ketika dulu menjadi beberapa kawasan awam di mana penduduk Kaherah – megapolis yang terdiri daripada 20 juta penduduk – boleh melepaskan diri daripada hiruk-pikuk kesesakan bandar.

Dipenuhi dengan kafe, pelawat dari pelbagai lapisan masyarakat akan menghirup teh dan jus di tebing sungai, dengan harga yang berpatutan.

Bertentangan dengan tebing Nil, pembangunan Mamsha Ahl Masr (sesiaran penduduk Mesir dalam bahasa Arab) telah menerima sambutan kurang memberangsangkan.

Sesiaran itu dialu-alukan oleh kerajaan sebagai salah satu ‘projek besar’ yang dilancarkan oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan dilaksanakan oleh tentera, projek paling berharga untuk ibu negara baharu, naik menjulang dari pasir 50 kilometer dari timur Kaherah.

“Ia merupakan satu bencana. Setiap ruang mesti mendatangkan keuntungan. Tidak ada lagi ruang awam, penduduk tidak boleh keluar tanpa membayar,” kata Soueif.

Namun sesiaran itu, dengan restoran, marina dan teater terbuka, akan ‘menjamin akses orang awam ke Nil,’ dakwa kerajaan.

Awad, yang tinggal bersama keluarganya di rumah perahu mereka selama 25 tahun, berkata ‘satu meter persegi ruang komersial adalah bernilai 1,000 pound, maka sudah tentunya mereka lebih suka menyewa ruang tersebut kepada kafe daripada tinggal di sana.”

“Ia sungguh tragik,” kata Awad, yang enggan memberi nama terakhirnya.

Kini dalam umur 60an, beliau mengeluh kehilangan ‘sisa-sisa warisan Kaherah’ yang telah wujud sejak Raja Farouk serta Umm Kalthoum dan Mounira al-Mahdiyya, pemimpin ikon abad ke-20. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -