Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah persinggahan tanpa kebenaran diarah henti operasi

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Sebuah rumah persinggahan yang dijalankan tanpa kebenaran perancangan bertempat di Kampung Jangsak, diperintahkan untuk memberhentikan aktiviti mereka oleh Autoriti Perancang kerana telah melanggar Seksyen 23(2) Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan rumah persinggahan tanpa kebenaran perancangan.

    Kegiatan tersebut didapati beroperasi di kawasan perumahan dan mengganggu penduduk setempat akibat aktiviti yang mengeluarkan bunyi bising serta menghalang lalu lintas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), tidak ada permohonan yang diterima oleh Autoriti Perancang untuk menjalankan kegiatan tersebut. Pengusaha mematuhi perintah Autoriti Perancang pada Julai 2023 dengan menghentikan aktiviti tersebut.

    Dalam pada itu, orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.

    Kesalahan tersebut boleh dihukum dengan denda maksimum $200,000, dan denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabit kesalahan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi hotline JPBD di talian 8200222 atau melalui e-mel di tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    Rumah persinggahan yang didapati beroperasi tanpa kebenaran perancangan yang terletak di Kampung Jangsak. – Gambar serahan JPBD

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda