Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Rumah plastik’

    SANDAKAN, 7 April – Berkonsepkan kitar semula, sebuah pusat penginapan di Pulau Libaran dekat sini, membina rumah galeri menggunakan 3,500 botol plastik.

    Kesemua botol plastik yang digunakan itu dikutip di pesisir pantai dan dikumpulkan sejak tiga tahun lepas menerusi program pembersihan kawasan pesisir pantai pusat penginapan itu.

    Program itu diadakan bagi menggalakkan penyu mendarat di pulau berkenaan berikutan pembukaan pusat penetasan telur penyu hasil inisiatif sebuah syarikat pelancongan, Trekkers Lodge Sdn Bhd.

    Pengarah Urusannya yang juga Presiden Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Negeri Sabah, Alexander Yee berkata tempoh lima minggu diambil untuk menyiapkan rumah galeri kitar semula itu.

    Katanya botol plastik bekas air minuman dan mineral satu liter digunakan sebagai dinding dan pagar galeri rumah kitar semula itu.

    Berkonsepkan kitar semula, sebuah pusat penginapan di Pulau Libaran dekat sini, membina rumah galeri menggunakan 3,500 botol plastik. – Bernama
    Berkonsepkan kitar semula, sebuah pusat penginapan di Pulau Libaran dekat sini, membina rumah galeri menggunakan 3,500 botol plastik. – Bernama

    Galeri itu akan menempatkan informasi dan gambar mengenai program konservasi dan kempen kesedaran penyu yang dijalankan di Pulau Libaran, terletak 40 minit perjalanan menaiki bot dari bandar Sandakan, katanya.

    “Saya berharap usaha ini dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai usaha konservasi penyu dan konsep kitar semula,” Alexander mem-beritahu Bernama di sini.

    Menerusi pembukaan Taman Konservasi Walai Penyu Libaran, pengunjung boleh memilih untuk menginap di pusat itu dan melihat penyu mendarat untuk bertelur, melepaskan anak penyu ke laut serta melawat pusat penetasan telur penyu.

    Beliau berkata program pembersihan pantai pada tahun ini membabitkan kawasan sepanjang 1.1 kilometer menerusi dana RM12,000 setahun melalui sumbangan beberapa agensi pelancongan di negeri ini.

    Katanya kawasan itu dibahagikan kepada 10 lot pesisir pantai dengan setiap lot sepanjang 100 meter dan kerja pembersihan dilakukan oleh tiga penduduk kampung di pulau itu.

    Sejak pusat penetasan penyu itu dibuka pada 2013, 213 penyu hijau dan penyu sisik telah naik ke darat untuk bertelur, manakala bilangan anak penyu dilepaskan ke laut ialah 27,668 ekor. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda