‘Rumah Putih tuntut serangan ke atas Iran’

WASHINGTON, 14 Jan – Rumah Putih menuntut tentera Amerika Syarikat (AS) menderaf pelan untuk menyerang Iran selepas serangan di Iraq tahun lalu, membangkitkan kebimbangan ke atas Pentagon dan Jabatan Negara, menurut laporan akhbar Wall Street Journal semalam.

Laporan itu berkata tindakan itu dilakukan selepas serangan mortar dilancarkan sebuah kumpulan dikaitkan Iran ke atas kuarters diplomatik Baghdad yang menempatkan Kedutaan AS pada September lalu. Dalam serangan itu, tidak ada yang dilaporkan cedera ketika mortar disasarkan di kawasan terbuka.

Namun Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih (NSC) bercadang melakukan satu tindak balas tegas AS susulan serangan skala rendah itu, termasuk pilihan menyerang Republik Iran, lapor Wall Street Journal.

Ia menambah, NSC juga meminta pilihan dalam tindak balas menerusi serangan di Iraq dan Syria.

“Ia pasti membimbangkan rakyat,” kata seorang bekas pegawai pentadbiran kanan AS kepada akhbar tersebut.

“Orang ramai terkejut. Ia tidak masuk akal betapa beraninya mereka mahu menyerang Iran.”

Walaupun Jabatan Pertahanan sememangnya membangunkan cadangan untuk serangan itu, laporan berkata, tidak jelas jika ia dikongsi bersama Rumah Putih. Dalam satu mesyuarat NSC, timbalan penasihat keselamatan kebangsaan pada ketika itu, Mira Ricardel menyifatkan serangan di Iraq sebagai satu ‘tindakan perang’ dan menggesa satu tindak balas tegas AS.

Pihak berkuasa Pentagon bertegas, ia bukan sesuatu luar biasa buat Jabatan Pertahanan menggariskan pelan ketenteraan untuk Rumah Putih.

“Jabatan Pertahanan adalah satu organisasi perancangan dan menyediakan presiden pilihan ketenteraan untuk pelbagai ancaman,” kata seorang jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning, kepada AFP.

Tambahnya, aktiviti Pentagon termasuk ‘secara rutin menyemak dan mengemas kini pelan dan aktiviti untuk menangani siri ancaman termasuk dari Iran, untuk menghalang dan jika boleh, bertindak balas terhadap kekerasan tersebut’. – AFP