WASHINGTON, 10 Mei – Rumah Putih mengucapkan tahniah kepada Moon Jae-in, atas kejayaan besarnya dalam Pilihan Raya Presiden Korea Selatan, semalam dengan majoriti undi Jae-in dijangka mempengaruhi pendirian tegas Presiden Donald Trump terhadap Korea Utara.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan bakal Presiden Moon dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan AS dan Republik Korea,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sean Spicer, dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kenyataan itu dianggap luar biasa kerana bukan dikeluarkan oleh Trump sendiri, khususnya ketika Washington masih belum jelas mengenai pendirian Jae-in berhubung pelaksanaan sekatan ekonomi terhadap Korea Utara.
Sebelum ini, Trump memberi tekanan terhadap China dan negara lain di rantau itu untuk meningkatkan sekatan terhadap Pyongyang, susulan ujian senjatanya yang mencetuskan kontroversi.
Jae-in dilaporkan pernah menganjurkan perbincangan dengan Pyongyang selain membuka semula kemudahan industri Kaesong hasil usaha sama Pyongyang-Seoul.
Kemudahan itu dipercayai membantu Korea Utara menjana pendapatan yang amat diperlukan.
Bagaimanapun, kebimbangan Presiden Trump mengenai pendirian Jae-in itu reda selepas beliau menyokong penempatan sistem pertahanan antipeluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Korea Selatan. – AFP