Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sebuah rumah di Kampung Pengiran Tajuddin Hitam telah roboh dengan sebahagian besar rumah berkenaan tenggelam ke dalam air dalam kejadian yang berlaku pada hari ketiga umat Islam di negara ini meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), enam orang anggota dari Balai Bomba Pelancaran yang diketuai oleh Watch Commander Pasukan B, ASO Haji Murni bin Haji Maidin telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 4:38 petang, 16 Mei lalu.
Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati rumah di atas air yang diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink berkenaan telah roboh keseluruhannya dan semasa kejadian, pemilik dan penghuni tidak berada di dalam rumah tersebut.
Anggota bomba bertindak memantau kawasan sekeliling rumah berkenaan dan tidak ada korban jiwa dilaporkan.
Kenyataan mengongsikan bahawa setakat ini bagi 2021, JBP telah pun menerima enam panggilan kecemasan yang melibatkan rumah roboh, berbanding tahun lalu dengan empat panggilan.
JBP dalam kenyataan itu lagi menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.

