Rumah separa kayu musnah dijilat api

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Tingkat atas sebuah rumah dua tingkat musnah keseluruhannya dalam kejadian kebakaran di Kampung Kiulap pada lewat malam, 22 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, seramai 22 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan bantuan tenaga dari Balai Bomba Beribi Cawangan Operasi A yang diketuai oleh SO Haji Abdul Rahman bin Haji Maitamit telah dikejarkan ke insiden kebakaran rumah di Kampung Kiulap pada pukul 11:13 malam.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api besar membakar keseluruhan tingkat atas rumah dua tingkat di mana tingkat bawah diperbuat daripada konkrit dan tingkat atas diperbuat daripada kayu.

Sembilan penghuni warga asing rumah tersebut berjaya keluar dari rumah itu dengan selamat sebelum jentera bomba tiba dan punca serta anggaran kerugian masih disiasat.

Menurut kenyataan, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, SSFR Noor Aflan bin Awang Kachi dan Stesen Komander Balai Bomba Bandar Seri Begawan, ASFR Hanif bin Haji Subuh turut hadir di tempat kejadian.

Dalam kenyataan itu lagi, JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering dan selimut api, menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya serta tidak sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan jendela dan pintu dibuka bagi pengudaraan.

Mereka juga disarankan untuk menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan segeranya jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memastikan untuk memberikan maklumat yang betul.

Anggota bomba dan penyelamat ketika memadamkan kebakaran dalam kejadian yang berlaku di Kampung Kiulap pada 22 Julai lalu.
Kebakaran memusnahkan tingkat atas rumah dua tingkat dalam kejadian kebakaran di Kampung Kiulap.