Rumah sewa musnah terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebuah rumah sewa jenis banglo musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Tanjong Nangka pada lewat petang, 6 November lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 18 orang anggota dari Balai Bomba Jerudong dan Balai Bomba Pengkalan Batu yang diketuai oleh DSO Yusof bin Bujang, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 6:26 petang.

Kenyataan menyatakan bahawa api besar membakar keseluruhan sebuah rumah sewa jenis banglo berukuran 20 meter panjang dan 15 meter lebar yang diperbuat daripada konkrit dan beratapkan spandik.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran itu dengan menggunakan controlled dividing breeching dan air diperoleh dari pili bomba yang berdekatan melalui pam jentera dengan api dapat dikawal dalam masa 7 minit.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa tiga orang mangsa warga asing sempat keluar dari rumah berkenaan dan tidak ada korban jiwa atau kecederaan berlaku di mana punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta untuk memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar ditempatkan di tempat yang lebih teratur dan penjagaan rumah yang baik.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan api dalam insiden kebakaran rumah di Kampung Tanjong Nangka pada lewat petang, 6 November lalu. – Gambar serahan JBP