Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah tangga goyah, Aliff Syukri jawab spekulasi

    Satu demi satu ujian menghimpit usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, sejak akhir-akhir ini.

    Berhadapan dakwaan memukul anak angkat, Aliff terus hangat apabila buat kali pertama, ibunya, Rozita Ibrahim membuat teguran secara terbuka di lnstagram mengenai gelagat anaknya itu.

    Terbaharu, rumah tangga dibina bersama isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid didakwa goyah.

    Spekulasi timbul apabila mereka dilihat tidak menjadi pengikut akaun IG masing-masing. Bagai menguatkan lagi desas-desus keretakan rumah tangga, Aliff muncul pula dengan single berjudul, Cuba Bahagia.

    Single Cuba Bahagia ciptaan dan lirik dihasilkannya sendiri membayangkan kisah lelaki yang mendambakan kebahagiaan daripada insan disayangi, lebih-lebih lagi ketika berhadapan tekanan hidup.

    Aliff berkata hubungan dengan isterinya baik-baik sahaja. – Agensi

    “Hubungan saya dan isteri baik-baik sahaja… Tiada apa-apa berlaku antara kami.

    “Saya tidak mahu komen persoalan kenapa kami saling tidak ‘follow’ di IG. Apabila bercakap mengenai bahagia, ia sangat subjektif. Tetapi, sudah tentu saya mahukan kebahagiaan bersama keluarga dan anak-anak.

    “Saya melalui pasang surut dalam kehidupan. Tekanan kerja, bisnes, netizen dan keluarga, ia ibarat pakej lengkap dalam hidup saya. Jujurnya, saya memerlukan orang kuat berada di sisi saya,” katanya.

    Tambah Aliff, lagu Cuba Bahagia tiada kaitan dengan krisis rumah tangga atau sesiapa pun.

    “Kalau boleh, saya tidak mahu menyentuh mengenai keluarga dan isteri kerana mereka turut terbabit dalam lagu ini.

    “Selebihnya, biarlah saya simpan kerana tak mahu netizen menuduh saya menagih simpati,” katanya yang memperkenalkan single baharunya pada sidang media di pejabat Wisma D’herbs, Kota Damansara, kelmarin.

    Penyanyi lagu Bobo Di Mana dan Abang Nak Tegur itu berkata, dia berhadapan tekanan teruk sehingga hampir mengambil tindakan di luar kewarasan fikiran.

    “Saya hampir bunuh diri akibat terlalu tertekan.

    “Minggu ini adalah fasa paling sedih dan tertekan bagi saya. Hakikatnya, saya berpura-pura boleh berdiri, tetapi roh saya sudah mati.

    “Walau macam manapun, saya teruskan juga. Selama 12 tahun dihina dan dimaki, perjalanan hidup saya bukannya mudah.

    “Orang tidak tahu, mereka tidak berada di tempat saya. Kehidupan sebenar saya bukan seperti yang dipaparkan dalam IG. Netizen hanya melihat perkara yang disogok dalam laman sosial dan media massa sahaja. Mereka tidak tahu apa yang saya lalui,” katanya.

    Aliff berkata, apa yang netizen lihat hanyalah lima peratus daripada kehidupannya.

    “Dalam diri saya tersimpan segunung kepahitan dan derita yang orang tidak nampak. Ketika berada di puncak, orang berlumba-lumba mahu menjatuhkan saya.

    “Saat itu, saya berhadapan dengan semuanya sendirian,” katanya.

    Baru-baru ini, dunia hiburan kecoh apabila Aliff didakwa memukul dan mencubit anak angkat berusia dua tahun pada 28 Februari lalu, seperti dilaporkan pembantu rumahnya kepada polis.

    Aliff kemudian ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

    Berikutan itu, Aliff dikecam tanpa henti daripada netizen.

    “Saya rasa seperti mahu menutup laman sosial,” katanya.

    Mengulas lagu Cuba Bahagia, anak kelahiran Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang ini berkata, single itu bukan bertujuan membuka aib hubungannya dengan isteri.

    “Saya tidak aibkan keluarga, jauh sekali menyindir sesiapa. Saya bahagia dengan perkahwinan dan anak. Lagu ini ditujukan buat insan yang tidak bahagia.

    “Ada kala, hidup saya tidak mendapat sokongan orang sekeliling. Jadi, air mata darah yang dipaparkan dalam video muzik ini menceritakan apa yang saya rasa dan lalui, hari ini,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda