Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Rumah terbuka eratkan persahabatan Brunei, M’sia

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan peluang yang amat baik serta dinanti-nantikan oleh sanak-saudara untuk pulang ke kampung halaman untuk berjumpa dengan ahli-ahli keluarga bagi mengeratkan silaturahim dan talian persaudaraan khususnya bagi ahli-ahli keluarga di Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Oleh itu, adalah diharapkan sempadan darat di antara Brunei dan Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak, dapat dibuka dalam masa yang terdekat untuk memberikan peluang kepada ahli-ahi keluarga bertemu di antara satu sama lain setelah tergendala disebabkan oleh wabak COVID.

    Perkara tersebut dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah kepada pihak Media Permata semasa Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Rumah Malaysia, Jalan Kebangsaan, hari ini.

    Beliau menambah bahawa dengan pembukaan semula sempadan darat berkenaan, ia akan memberikan peluang kepada ahli keluarga dari kedua-dua buah negara untuk bertemu semula khususnya dalam sama-sama meraikan hari-hari perayaan dengan meriah.

    Sehubungan itu, suasana serupa dapat disaksikan di Malaysia, jelasnya, apabila setelah dua tahun, penduduk Malaysia dibenarkan untuk kembali ke kampung halaman untuk berkunjung ke sanak-saudara dan rakan-rakan bagi sama-sama meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Menteri-menteri kabinet berserta pegawai kanan kerajaan yang hadir semasa Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Rumah Malaysia, Jalan Kebangsaan.
    TYT Dato’ Raja Reza ketika ditemubual oleh media.

    Majlis jamuan yang dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat serta pegawai-pegawai kanan kerajaan itu, dilaksanakan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan di mana jumlah jemputan pada satu masa yang tidak melebihi 30 orang, melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum berkunjung ke majlis, jika mempunyai simptom atau merasa kurang sihat untuk tidak menghadiri majlis serta memakai pelitup muka kecuali semasa makan dan minum.

    Majlis itu bermatlamat untuk memberikan peluang kepada para jemputan untuk mengeratkan lagi ikatan persahabatan, silaturahim serta kemesraan di antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam yang telah terjalin sekian lamanya.

    Di majlis tersebut, TYT Dato’ Raja Reza berkata kepada pihak Media Permata bahawa tahun ini, merupakan tahun pertama beliau menyambut Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Negara Brunei Darussalam dan walaupun kita perlu mengikuti beberapa garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam meraikan sambutan itu, namun begitu, baginya, ia masih merupakan satu acara yang meriah kerana di Brunei, keluarga terdekat masih dibenarkan untuk berkunjung di antara satu sama lain dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan.

    Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata bahawa jemputan dibahagi-bahagikan kepada tiga sesi di mana setiap sesi adalah tidak melebihi 30 orang dan dalam jemputannya juga, beliau menyatakan para tetamu perlu melakukan ujian ART sebelum berkunjung ke majlis berkenaan, mengimbas suhu badan dan mengimbas kod QR bagi memastikan bahawa majlis diadakan mengikut dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

    TYT Dato’ Raja Reza menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat Baginda kerana berkenan menjemputnya dan isteri bersama-sama rakan-rakan diplomatik yang lain ke Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri bagi Orang-orang Kenamaan serta Diplomat dan VVIP yang berlangsung di Istana Nurul Iman, baru-baru ini.

    Beliau berkata bahawa suasana Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Negara Brunei Darussalam dapat disaksikan di serata tempat dengan ahli-ahli keluarga terdekat berkunjung-kunjung ke rumah saudara-mara dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan.

    Di kesempatan itu, TYT Dato’ Raja Reza juga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakannya di Negara Brunei Darussalam serta berharap sambutan tersebut dapat diraikan dengan lebih meriah pada tahun hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...