Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 18 Feb – Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) kali ini bukan sahaja dimeriahkan dengan Majlis Rumah Terbuka namun diserikan dengan pelbagai persembahan tradisional gabungan seperti Tarian Singa, Ngajat, silat dan karate yang telah mencipta kelainan daripada sambutan sebelumnya.
Sambutan mengetengahkan pelbagai persembahan itu telah disambut oleh salah seorang ahli Majlis Perundingan Kampung Seria, Wong Ming Ching bersama keluarganya di kediamannya hari ini di Kampung Lumut dengan mengundang peserta persembahan yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) STKRJ Lorong Tiga Seria, belia-belia kampung yang juga termasuk kanak-kanak.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim serta tetamu-tetamu undangan khas keluarga tersebut daripada daerah-daerah lainnya.
Wong Ming Ching ketika ditemu bual semasa majlis tersebut, memberitahu, rumah terbuka keluarganya diadakannya setiap tahun yang dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli MPK dengan persembahan-persembahan tradisional daripada ahli-ahlinya.
Menurutnya lagi, Sambutan Tahun Baharu Cina tetap diadakan walaupun ekonomi kurang memberangsangkan dan ia bukannya alasan untuk tidak memeriahkan sambutan kerana musim itulah yang boleh menjalinkan lagi kemesraan dan persahabatan dengan masyarakat, saudara mara, sahabat handai dan sebagainya.
Sementara itu, majlis seumpamanya turut diadakan oleh Pengerusi Persatuan Kwong Wai Siew, Koo Kong Loi di Kampung Lumut Tersusun di sini yang juga menyerikan sambutan dengan persembahan tradisional daripada ahli-ahli MPK STKRJ Lorong Tiga Seria.
Koo Kong Loi ketika ditemui, memberitahu, bahawa dengan kehadiran pelbagai bangsa dan kaum berkunjung ke rumah terbukanya, ia akan menambahkan lagi kemeriahan dan semakin mengeratkan persahabatan dan beliau berharap semua akan melangkah ke arah kehidupan yang lebih maju pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.