Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah terbuka TBC meriah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 16 Feb – Lebih 100 orang telah berkunjung pada hari pertama Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Presiden Persatuan Perniagaan Cina Daerah Belait, Loo Soon Nin di kediamannya di Jalan Perakong di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga Penghulu Mukim Liang.

    Hadir sama ialah Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap dan isteri, Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Seria dan Majlis Perundingan Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria.

    Semasa ditemui Media Permata, Loo Soon Nin memberitahu, beliau mengadakan majlis rumah terbuka setiap tahun dengan mengundang kalangan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di sana dan masyarakat setempat serta rakan-rakan dan kenalan, tidak ketinggalan rakan-rakan seperniagaan dan sebagainya.

    Menurutnya, dengan menampilkan berbagai-bagai persembahan kebudayaan Iban, Melayu dan Cina pada majlis itu menunjukkan bahawa hidup perlulah dalam satu rumpun dan sentiasa sepakat, untuk mengekalkan kesejahteraan dan persahabatan yang sudah lama terjalin.

    Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bersama Presiden Persatuan Perniagaan Cina Daerah Belait dan Haji Saidin serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seria.
    Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di rumah Presiden Persatuan Perniagaan Cina Daerah Belait.

    Menceriakan majlis tersebut ialah beberapa persembahan kebudayaan seperti persembahan guling tangan yang diketuai sendiri oleh Haji Saidin dan anak-anak buah kampung. Selain itu, persembahan silat oleh belia-belia kampung dan persembahan dari etnik Iban iaitu tarian Ngajat juga diadakan dengan pakaian tradisi masing-masing.

    “Kami sekeluarga berasa sangat bahagia dengan kehadiran di kalangan penduduk kampung, tiada mengira golongan usia dan melihat mereka bergembira sambil menikmati jamuan yang disediakan. Kami juga rasa gembira dan setentunya sudah menjadi adat resam kami untuk menghadiahkan paket merah (angpau) kepada kalangan kanak-kanak dan belia-belia remaja,” kata Loo Soon Nin.

    Rumah terbuka tersebut diadakan dari pagi hingga ke petang, dengan menyediakan berbagai-bagai hidangan dan minuman tidak ketinggalan hidangan tradisi masyarakat Cina iaitu buah limau Mandarin yang hanya akan dapat dinikmati setahun sekali pada musim perayaan TBC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda