Rumbia, ‘jongkong emas’ bagi etnik Melanau

Oleh Hasnah Jusid

MUKAH – ‘Inau dengah’ yang bermaksud ‘apa khabar’ dalam bahasa Melanau diungkapkan sebaik sahaja penulis bertemu Arthur Ignatius Lai, seorang penebang dan pekebun pokok rumbia atau dikenali sebagai balau yang menjadi sumber utama ekonomi penduduk Melanau terutamanya, di sekitar Mukah dan Dalat, di sini.

Dengan membawa gergaji rantai dan sebilah parang yang terlilit kemas di pinggangnya, Arthur, 38, yang ditemui di Kampung Tegup, Dalat di sini, sudahpun bersedia menjalani rutin hariannya masuk ke hutan bagi mengeluarkan rumbia yang akan diproses menjadi bahan makanan seperti tepung sagu.

Penulis yang berkesempatan mengikuti perjalanan Arthur meredah hutan dalam keadaan tanah berlumpur dan becak untuk melihat dengan lebih dekat proses menebang rumbia, terdetik perasaan kagum dengan kerajinan Arthur yang mempunyai susuk badan yang agak kecil tetapi mampu melakukan kerja yang memerlukan kekuatan fizikal.

Bermula dengan membersihkan kawasan sekeliling pokok rumbia, menentukan arah tebangan, menebang dan memotong pokok rumbia menggunakan gergaji rantai seterusnya menolak keluar potongan rumbia ke tepi jalan atau tepi sungai, ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah.

Kebiasaannya, sebatang pokok rumbia akan dipotong kepada 12 bahagian, setiap satunya sepanjang 33 inci dan anggaran berat lebih 50 kilogram, sebelum dihantar terus ke kilang atau orang tengah dengan harga RM12 setiap potongan.

Adolfo Junior Ngu melakukan proses menolak potongan bahagian pokok rumbia yang siap dipotong ke tepi sungai, setiap satunya sepanjang 33 inci dan anggaran berat lebih 50 kilogram, sebelum dihantar terus ke kilang atau orang tengah. – Bernama
Arthur Ignatius Lai (kanan) melakukan proses membersihkan dan membuang kulit pokok rumbia. – Bernama
Penebang dan pekebun pokok rumbia Arthur Ignatius Lai melakukan proses menanda pokok rumbia yang sedia untuk ditebang di Kampung Tegup, Dalat baru-baru ini. – Bernama
Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat, Benedict Pon Akie ketika ditemu bual bersama Bernama di Pekan Dalat baru-baru ini. – Bernama
Sebahagian potongan pokok rumbia yang diikat menggunakan tali untuk dijadikan seperti rakit di sungai berdekatan sebelum dihantar menggunakan perahu kecil ke kilang membuat sagu. – Bernama

Walaupun tidak semewah ketika beliau bekerja di kem balak suatu ketika dahulu, harga RM12 sepotong rumbia, ternyata tidak berbaloi dengan kudrat dikerah, namun bapa kepada dua anak yang telah bergelumang dengan pekerjaan itu sejak 10 tahun lepas berkata pekerjaan itu sudah sebati dalam jiwa-nya dan rezekinya cukup untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Kerja memang penat, tapi sudah sebati dengan saya sebab saya ingat pesan nenek saya kalau betul-betul rajin, pasti ada hasilnya.

“Rumbia adalah ‘jongkong emas’ kaum Melanau di sini,” katanya yang turut menjalankan khidmat memotong rumbia di kebun rumbia sekitar Dalat dengan upah RM6 bagi setiap potongan.

Adolfo Junior Ngu, 18, yang turut mengikuti Arthur berkata beliau sendiri mula berjinak-jinak  dengan rumbia sejak berusia 12 tahun setiap kali cuti sekolah dan sehingga kini, beliau juga mengambil upah membantu kerja-kerja menebang dan mengeluarkan pokok rumbia.

“Saya bercita-cita memiliki sendiri kebun rumbia, inilah sumber pendapatan kami di sini,” katanya dalam nada penuh harapan.

Pengunjung ke Dalat, pastinya dapat melihat slogan “Berakar Rumbia, Berinti Budaya’ di bulatan utama pekan ini, selain deretan potongan rumbia diapungkan di sungai-sungai utama, sedia untuk dibawa ke kilang-kilang berdekatan untuk diproses.

Mukah mempunyai keluasan tanaman rumbia terbesar di Sarawak iaitu seluas 45,392 hektar, dengan saiz tanaman di daerah Dalat sahaja berjumlah 28,169 hektar dengan terdapat dua ki-lang Sagu di Mukah dan enam di Dalat pada masa ini.

Kerajaan Sarawak menerusi penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Nipah dan Sagu (Linas) memberi perhatian serius terhadap pembangunan komoditi berkenaan di samping  berusaha untuk meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil rumbia termasuk daripada aspek kualiti, pengeluaran dan teknologi baharu.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat Benedict Pon Akie berkata industri rumbia di Mukah tidak akan pupus memandangkan rumbia merupakan perusahaan tradisi sejak berkurun lamanya dan tidak dapat dipisahkan dengan kaum Melanau, walaupun terdapat dalam kalangan penduduk yang mulai beralih kepada penanaman kelapa sawit.

Melihat kepada senario ini, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memberikan 10 ekar tanah bagi setiap isi rumah yang berminat di kawasan itu untuk ditanam dengan rumbia yang boleh dituai selepas tujuh hingga sembilan tahun bagi memastikan kelangsungan industri yang sudah sebati dengan etnik Melanau.

“Satu ekar boleh tanam 60 pokok, kalau 10 ekar sudah 600 pokok, daripada tanah ini dibiarkan kosong maka lebih baik kita usahakan dengan tanaman rumbia kerana ia sangat berharga dan mempunyai banyak kegunaan. Buat kerja ini untuk kaya memang tidak, tapi untuk makan (kelangsungan hidup) boleh,” katanya.

Malah katanya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan kursus ringkas bagi mengajar anak-anak muda dalam bidang penanaman pokok rumbia, khususnya bagi mereka daripada keluarga yang memiliki tanah terbiar yang belum diusahakan.

Selain itu, beliau berharap Lembaga Pembangunan Industri Nipah dan Sagu dapat membantu menyelesaikan isu harga rumbia yang ditetapkan oleh kilang ketika ini, memandangkan harga itu dikatakan tidak adil kepada pekebun kecil.

Sementara itu, Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak Dr Jeniri Amir dalam satu artikel disiarkan di sebuah portal September lepas berkata dalam tempoh tiga dekad terakhir abad ke-19, kestabilan kewangan Sarawak banyak bergantung kepada industri sagu.

Jeniri, anak Melanau berasal dari Kampung Tellian Tengah di sini berkata Sarawak membekalkan setengah daripada keperluan sagu dunia dalam tempoh tersebut dan disebabkan itu, sagu dan rumbia merupakan aset penting dan dianggap sebagai pokok emas yang telah banyak membantu ekonomi masyarakat Melanau.

“Pokok rumbia tetap penting sebagai pokok pelbagai guna, bukan sahaja untuk menghasilkan pelbagai produk makanan tetapi juga kegunaan lain. Rumbia dan sagu dijangka terus menjadi produk penting pada masa depan,” katanya yang banyak membuat kajian dan menulis buku tentang etnik Melanau. – Bernama