Rumpai, kumbahan cemari keindahan Tasik Dal

SRINAGAR, INDIA – Penambang, Noor Muhammad bersusah payah mengayuh perahunya ketika memasuki kawasan tasik Dal di Srinagar, bandar utama di Kashmir yang dikawal India.

Dia menekan pendayungnya dengan keras untuk menguraikan tumbuhan yang tebal daripada perahunya.

“Sangat susah untuk mengayuh di kawasan tasik ini,” adunya. Dia berkata “pihak berkuasa membelanjakan wang yang banyak tetapi mereka tidak membersihkan kawasan ini dengan betul.”

Rumpai, lumpur dan kumbahan yang tidak dirawat memenuhi kawasan tasik yang indah itu, yang menguasai bandar dan dapat menarik puluhan ribu pelancong setiap tahun.

Tasik Dal kelihatan indah di kawasan tempat ratusan bot rumah yang dihias indah untuk disewakan kepada pelancong-pelancong. Tasik ini mengandungi campuran paya yang berlumut, rumpai yang tebal dan kebun terapung yang diperbuat daripada rakit buluh.

Usaha membersihkan kawasan tasik menggunakan perahu kayu. – AP
Pengorek mekanikal yang digunakan untuk membuang tumbuhan tebal, lumpur dan bahan buangan. – AP

Sebuah universiti di Kashmir telah menjalankan satu kajian pada tahun 2016 telah mendapati sebanyak 20 peratus daripada air tasik tersebut adalah bersih. Manakala, 32 peratus daripadanya adalah tidak bersih.

Sekurang-kurangnya 15 saliran utama di bandar membawa bahan buangan ke kawasan tasik tersebut, menyebabkan tasik ini tercemar dengan bahan cemar seperti fosforus dan nitrogen, kata pegawai.

Tariq Ahmad, pemilik bot rumah, mengatakan hampir 900 daripada bot rumah yang berdaftar menyumbang hanya ‘sebahagian kecil’ daripada pencemaran di tasik tersebut.

Dalam respons kepada permintaan Hak Maklumat daripada Ahmad, pihak berkuasa berkata pada tahun 2017, hampir 44 juta liter (11 juta gelen) bahan buangan dari bandar dilepaskan ke tasik tersebut setiap hari. Tambahan lagi, hampir 1 juta liter (260,000 gelen) bahan buangan datangnya daripada bot rumah, kata mereka.

Pegawai menyatakan mereka berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan tasik yang terjejas pantas itu.

Bashir Ahmed, pegawai kerajaan yang mengawasi kebersihan tasik tersebut, menyatakan mereka menjalankan pembuangan rumpai, membersihkan lebih daripada 30 juta liter (8 juta gelen) bahan buangan setiap hari dan meruntuhkan struktur yang ditegah di dalam kawasan tasik itu.

“Tasik ini adalah tasik yang dibandarkan. Kita perlu faham terdapat banyak jumlah bahan buangan di kawasan tasik ini,” kata Ahmed.

Lebih daripada 12 kapal pengorek mekanikal telah dikerahkan untuk mengali lumpur dan rumpai, manakala ratusan pekerja membersihkan tasik tersebut menggunakan perahu kayu yang kecil.

Ahli alam sekitar mengatakan usaha seperti pengurangan rumpai telah membantu, tetapi memerlukan usaha yang lebih lagi untuk menyelamatkan tasik tersebut, terutama sekali daripada bahan buangan.

“Jika kita memberhentikan racun daripada satu arah dan kita membenarkan racun tersebut untuk keluar daripada satu arah yang lain, usaha tersebut menjadi sia-sia,” kata ahli alam sekitar, Aijaz Rasool. – AP