Rundingan Afghanistan ditangguhkan

KABUL, Afghanistan, 19 April – Satu pusingan rundingan perdamaian Afghan-ke-Afghanistan yang akan menyaksikan Taliban dan pegawai kerajaan duduk bersama untuk kali pertama ditangguhkan selepas isu siapa yang perlu hadir pada perbincangan itu menjadi tanda tanya.

Sultan Barakat, pengarah Pusat Kajian Konflik dan Kemanusiaan Qatar, organisasi yang menaja acara pertemuan tersebut, menulis tweet mengenai penangguhan itu, mengatakan ‘malangnya pertemuan ini perlu dikaji semula dan menentukan siapa yang perlu hadir pada perbincangan berkenaan.’

Perbincangan yang dijadualkan hari ini antara wakil-wakil Afghan dan Taliban dianggap sebagai langkah pertama yang penting ke arah menamatkan rundingan perang di Afghanistan dan penarikan balik tentera Amerika Syarikat yang akan menamatkan perang terpanjang di Amerika.

Pegawai kanan itu berkata rundingan berlaku selepas Presiden Ashraf Ghani tidak menyetujui senarai peserta yang diumumkan oleh organisasi Barakat. Senarai 243 orang telah diumumkan oleh Qatar kelmarin.

Senarai itu berbeza daripada senarai 250 Ghani, termasuk lebih banyak wanita, menurut seorang pegawai kanan kerajaan, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Taliban tidak memberikan komen tetapi Zabihullah Mujahed, jurucakap Taliban, pada Rabu mempersoalkan bilangan delegasi kerajaan.

Usaha untuk mengakhiri perang di Afghanistan telah meningkat sejak pelantikan Utusan Perdamaian Amerika Syarikat, Zalmay Khalilzad, pada bulan September yang telah mengadakan beberapa kali perbincangan dengan Taliban. Pasukan perundingan Taliban adalah seramai 14, termasuk lima bekas tahanan di penjara Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo. -AFP

Gambar fail pada 16 Feb lalu menunjukkan bekas Presiden Afghanistan Hamid Karzai bercakap semasa wawancara dengan The Associated Press di Kabul, Afghanistan. Karzai kelmarin berkata bahawa semua pihak perlu mengadakan rundingan keamanan bersama termasuk daripada pihak Taliban. – AP