Rundingan damai detik peristiwa penting

DOHA, 2 DIS – Rundingan damai antara Taliban dan kerajaan Afghanistan di Qatar bersedia memasuki peringkat seterusnya, menurut kedua-dua belah pihak hari ini selepas bersetuju mengenai syarat-syarat rundingan.

Perjumpaan yang bermula pada September, telah terbantut disebabkan perbalahan mengenai agenda, rangka kerja asas rundingan dan tafsiran agama.

Nader Nadery, ahli pasukan rundingan kerajaan, memaklumkan menerusi Twitter bahawa ‘prosedur bagi rundingan antara Afghan telah dicapai dan perbincangan mengenai agenda’ akan menyusul.

Mohammad Naeem, jurucakap bagi Taliban, turut memberitahu menerusi Twitter bahawa prosedur perbincangan telah ‘dimuktamadkan dan kini rundingan agenda akan dimulakan’.

Kedua-dua pihak yang berbalah kini secara langsung mengadakan rundingan kali pertama berikutan perjanjian pengunduran tentera yang ditandatangani pada Februari oleh pihak pemberontak dan Washington.

Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mengundurkan semua tentera asing sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan dan janji Taliban untuk mengadakan rundingan dengan Kabul.

Utusan khas AS mengenai konflik itu, Zalmay Khalilzad mengalu-alukan kejayaan rundingan, dengan menyebut ia sebagai ‘satu peristiwa penting’. – AFP