Rundingan damai kedua positif

BANGKOK, 4 MAC – Rundingan damai pusingan kedua antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) membuahkan hasil positif, menyaksikan kedua-dua pihak berbincang beberapa isu teknikal dan pentadbiran bagi membuka laluan mewujudkan keamanan berpanjangan di selatan Thailand.

Dalam satu kenyataan, Sekretariat Dialog Keamanan (SPD) berkata pertemuan kedua antara ketua perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan BRN – diketuai Anas Abdulrahman – diadakan pada 2 dan 3 Mac di Kuala Lumpur.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator pada pertemuan itu.

“Secara keseluruhan pertemuan itu berjalan lancar, kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu teknikal dan pentadbiran berkaitan dengan proses dialog.

“Mesyuarat bermula dengan membincangkan topik mengenai isu substantif termasuk mengurangkan keganasan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.

“Isu substantif memerlukan masa, berterusan dan sokongan semua sektor terlibat. Kedua-dua pihak akan bermesyuarat untuk membincangkan butiran lanjut semua isu itu dalam masa terdekat,” katanya.

Panel dialog turut mengulangi komitmen untuk mengambil langkah berkesan dan berhemah yang dilihat memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah di wilayah selatan itu.

Mesyuarat rasmi pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Januari lau, kedua-dua pihak bersetuju rundingan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand – membawa harapan baharu menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoritinya beragama Islam. – Bernama