Rundingan damai Syria digantung

BEIRUT, 4 Jan – Pemisah Syria menggantung rundingan damai baru, menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad mencabul gencatan senjata empat hari dengan serangan berhampiran Damsyik berterusan pada Selasa.

Di Idlib, serangan udara mengorbankan sekurang-kurangnya 25 anggota bekas kumpulan sekutu al-Qaeda, Fateh al-Sham Front, termasuk tokoh kanan. Keputusan pembangkang itu mengancam proses anjuran sekutu rejim, Russia dan penyokong pemisah, Turki, yang bermula dengan gencatan senjata dan bertujuan membawa kepada rundingan di ibu negara Kazakhstan, Astana, bulan ini.

Gencatan senjata menjadikan sebahagian besar negara itu sunyi daripada serangan tetapi masih dicemari dengan keganasan, terutama pertempuran di wilayah Badi Barada di utara Damsyik yang membekalkan air ke kota raya itu.

Tentera kerajaan dibantu Hizbullah dari Lubnan berterusan meneruskan serangan dua minggu di situ, walaupun gencatan senjata bermula pada 30 Disember lalu.

Dua belas kumpulan pemisah, pada lewat Isnin mengumumkan pembekuan semua perbincangan berkaitan rundingan di Astana.

Mereka menegaskan menghormati gencatan senjata tetapi menuduh rejim ‘kerap melanggar wilayah pemisah di Wadi Barada dan Ghouta Timur, berhampiran Damsyik.’

“Jika keadaan tidak kembali seperti sebelum ini, perjanjian dikira batal,” kata mereka. Ia ditandatangani 12 kumpulan, termasuk Tentera Islam, Faylaq al-Sham dan Brigade Sultan Murad, yang rapat dengan Turki.

Pertempuran sengit berterusan di Wadi Barada pada Selasa, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR). – AFP