Rundingan damai Yaman bakal bermula

RIYADH, 5 Dis – Delegasi kerajaan Yaman berlepas ke Riyadh awal hari ini bagi mengadakan perbincangan peringkat tinggi di Sweden bersama pejuang Huthi yang bertujuan untuk menamatkan peperangan di negara itu, menurut sumber terdekat memberitahu kepada AFP.

Pelepasan delegasi yang terdiri daripada 12 ahli, diketuai oleh Menteri Luar Negara Khaled al-Yamani disusuli dengan ketibaan pasukan perunding pemberontak di Sweden.

Rundingan damai pertama Yaman sejak 2016 merupakan peluang terbaik untuk menamatkan peperangan, menurut penganalisis tatkala komuniti antarabangsa meneruskan tekanan di sebalik penyelesaian konflik tersebut.

Delegasi kerajaan yang disokong Arab Saudi membawa harapan rakyat Yaman untuk mencapai perdamaian yang mapan, menurut Abdullah al-Alimi, ketua pejabat Presiden Abedrabbo Mansour Hadi menerusi Twitter. Beliau menambah, kumpulan itu akan melakukan usaha bagi mencapai kejayaan dalam rundingan itu di mana ia mencetuskan peluang sebenar untuk perdamaian.

Delegasi pejuang Huthi tiba di Stockholm dari Sanaa kelmarin susulan perjanjian pertukaran tahanan dan memindahkan 50 pejuang yang cedera untuk menerima rawatan di Oman bagi merangsang usaha perdamaian.

Kumpulan mereka ditemani oleh utusan PBB Martin Griffiths.

Meskipun belum ada pengumuman mengenai tarikh bermulanya perundingan, sumber kerajaan Yaman berkata ia akan bermula esok.

Cubaan PBB sebelum ini untuk membawa kumpulan Huthi dan kerajaan yang disokong Arab Saudi ke meja rundingan di Switzerland pada September lalu menemui kegagalan. – AFP

Delegasi pemberontak Yaman bersedia untuk berlepas ke Sweden dan ditemani oleh utusan PBB bagi menghadiri rundingan yang bertujuan menamatkan konflik perang. – AFP