Rundingan damai Yaman Dis ini

WASHINGTON, 22 Nov – Rundingan damai antara pemberontak-pemberontak Huthi dan kerajaan yang diisytihar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan diadakan pada awal Disember di Sweden yang bertujuan untuk menamatkan peperangan di Yaman, menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis kelmarin.

Menurutnya, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu turut bersepakat.

“Ia akan berlangsung pada awal Disember di Sweden, kami akan menyaksikan kehadiran pihak pemberontak Huthi dan kerajaan yang diisytihar PBB, pentadbiran Presiden Hadi.”

Bulan lepas Mattis membuat gesaan yang mengejutkan untuk gencatan senjata di Yaman dan menggesa pihak-pihak yang berperang untuk menyertai rundingan dalam tempoh 30 hari.

PBB kini meletakkan semula tarikh itu pada akhir tahun ini.

Komen terbaharu Mattis dibuat tatkala Jabatan Negara AS berkata rundingan itu tidak boleh ditangguhkan lagi dan utusan PBB Martin Griffiths kini berada di Sanaa untuk rundingan bersama pemimpin pemberontak bagi mendesak mereka menyertai rundingan damai di Sweden.

Griffiths mengetuai bagi memberi tekanan untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama dua tahun, yang mana ia mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dunia seperti yang dikatakan oleh PBB.

Ia juga berlaku sehari selepas Presiden AS Donald Trump berikrar untuk tetap bersama Arab Saudi sebagai sekutu meskipun selepas insiden pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul bulan lepas.

CIA telah membuat kesimpulan bahawa pembunuhan itu diarahkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman tetapi Trump memilih untuk tidak menghiraukannya dan mementingkan hubungan bersama negara itu. – AFP

Martin Griffiths tiba di lapangan terbang antarabangsa Sanaa semalam. Rundingan damai yang bertujuan untuk menamatkan peperangan di Yaman akan diadakan pada awal Disember di Sweden. – AFP