Rundingan draf strategi dan peruntukan UNESCO diadakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Pegawai-pegawai kanan dari lebih 16 buah negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan wakil organisasi antarabangsa serta pemerhati telah menghadiri Rundingan Sub-Serantau Suruhanjaya Kebangsaan bagi UNESCO secara dalam talian yang berlangsung selama dua hari, hingga kelmarin.

Rundingan adalah mengenai persiapan bagi Draf Strategi UNESCO Rangka Pertengahan Tahun 2022-2029 (41 C/4), dan Draf Program dan Peruntukan UNESCO Tahun 2022-2025 (41 C/5).

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin selaku setiausaha agung Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi UNESCO.

Beliau juga mempengerusikan sesi kedua mesyuarat berkenaan yang berlangsung kelmarin, anjuran pejabat-pejabat kluster UNESCO di Jakarta, Bangkok dan Beijing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, rundingan bertujuan untuk memaklumkan dan memberikan panduan kepada ketua pengarah UNESCO mengenai kedudukan strategik dan peranan kepimpinan UNESCO bagi rangka kerja strategik penggal pertengahan 2022-2029 seterusnya, serta cadangan-cadangan mengenai keutamaan program-program pada masa hadapan yang relevan untuk tindakan pertubuhan bagi 2022-2025.

Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati semasa menghadiri Rundingan Sub-Serantau Suruhanjaya Kebangsaan bagi UNESCO yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

Draf-draf dokumen berkenaan akan dihadapkan ke Lembaga Eksekutif UNESCO pada sesi ke-210.

Kenyataan menyatakan, semasa sesi pertama perundingan yang berlangsung pada 24 Jun, negara-negara anggota UNESCO termasuk Negara Brunei Darussalam telah menyentuh mengenai Strategi Penggal Pertengahan bagi 2022-2029 yang mana delegasi berpeluang untuk berkongsi cabaran-cabaran dan impak semasa wabak COVID-19 termasuk dalam bidang pendidikan, sains,  kebudayaan, sains semula jadi, sains sosial dan kemanusiaan serta komunikasi maklumat di negara masing-masing.

Delegasi juga telah berkongsi bahawa krisis wabak tersebut tidak hanya mempengaruhi kesihatan masyarakat di seluruh dunia tetapi juga telah mencetuskan beberapa cabaran terutama dalam melaksanakan pembangunan lestari masa hadapan.

Isu-isu mengenai perpaduan global dan sumber-sumber yang diperlukan dalam melaksanakan keutamaan global serta kepentingan belia sebagai penyumbang kepada dunia yang lebih baik juga dibangkitkan oleh kebanyakan negara anggota.

Merujuk kepada perbincangan pada hari pertama, sesi kedua lebih tertumpu kepada program dan peruntukan tahun 2022-2025. Selaku pengerusi, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati telah mengambil maklum akan sokongan berterusan yang telah disuarakan oleh negara-negara anggota terhadap fungsi teras dan bidang-bidang program UNESCO.

Semasa sesi tersebut, beberapa cadangan juga telah dibentangkan oleh negara-negara anggota UNESCO untuk mengoptimumkan sumber-sumber, membangunkan sinergi dan meningkatkan kehadirannya di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Negara-negara anggota juga mencadangkan agar UNESCO dapat memperkukuhkan lagi kerja antara disiplin dan antara sektor dalam menangani cabaran-cabaran dalam pembangunan yang kompleks demi mencapai mandat pertubuhan tersebut.

Turut hadir semasa perundingan dalam talian itu ialah Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Walter Chong Meng Siong dan pegawai Kementerian Pendidikan.