Rundingan krisis Sudan diteruskan

KHARTOUM, 12 JUN – Utusan khas Perdana Menteri Habsyah, Mahmoud Dereir, menegaskan bahawa Majlis Peralihan Tentera (TMC) dan Gerakan Pembebasan mencapai kata sepakat bahawa kedua-dua pihak tidak akan berundur daripada apa yang telah mereka persetujui, lapor Agensi Berita Sudan (SUNA).

Dalam sidang akhbar yang diadakan kelmarin di premis Kedutaan Habsyah, utusan khas itu, yang bertindak sebagai pengantara bagi TMC dan Gerakan Pembebasan, mengumumkan bahawa kedua-dua pihak akan berunding secara baik mengenai pembentukan Majlis Kedaulatan.

Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju mengelak sebarang kata-kata kesat atau penghinaan terhadap satu sama lain menerusi kenyataan yang dikeluarkan yang boleh menghalang inisiatif tersebut.

Utusan khas Habsyah itu berkata TMC telah bersetuju untuk membina keyakinan dengan membebaskan tahanan manakala Gerakan Pembebasan dan Perubahan Deklarasi bersetuju menghentikan ketidakpatuhan.

Beliau berkata kedua-dua pihak akan kembali ke meja rundingan tidak lama lagi dan menambah bahawa mereka dijangka membentangkan pandangan bagi mengatasi masalah pembentukan majlis kedaulatan.

Dereir mengesahkan bahawa langkah pengantaraan itu adalah usaha bagi mengelak ketegangan dan tindakan saling menuduh antara kedua-dua pihak serta menegaskan hasratnya untuk meneruskan inisiatif tersebut.

Beliau turut melahirkan keyakinannya bahawa Sudan mampu mengatasi masalah yang dihadapinya ketika ini. – Bernama

Seorang peniaga Sudan menjual sayur di pasar Khartoum pada 10 Jun, kerana kebanyakan kedai dan perniagaan masih ditutup. Utusan khas Perdana Menteri Habsyah, Mahmoud Dereir mengumumkan bahawa Majlis Peralihan Tentera dan Gerakan Pembebasan mencapai kata sepakat akan berunding secara baik mengenai penubuhan Majlis Kedaulatan. – AFP