Thursday, October 10, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan NAFTA gagal capai persetujuan

    WASHINGTON, 21 Sept – Rundingan selama dua hari berakhir semalam dan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada gagal mencapai satu perjanjian untuk memperbaharui Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara.

    Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland memberitahu wartawan rundingan telah diadakan ‘secara berterusan’ dan ‘positif’ tetapi bertentangan dengan pertemuan sebelumnya sejak sebulan lalu, beliau mengelak daripada berkata kedua-dua pihak telah mencatat kemajuan.

    “Saya memilih kata-kata saya dengan teliti. Hari ini kami membincangkan beberapa isu yang sukar. Perbualan adalah positif. Kami semua akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh,” kata Freeland selepas dua pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer.

    Pegawai telah mengadakan rundingan hampir tidak henti selama sebulan tatkala mereka cuba mengatasi halangan dan bersetuju dengan penggubalan semula NAFTA, menerima tekanan daripada Presiden AS Donald Trump untuk menandatangani satu perjanjian yang dicapai pada Ogos bersama Mexico.

    Namun Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menegaskan AS mendesak dan menjelaskan bahawa beliau tidak akan menerima sebarang perjanjian. Beliau berkata pada Rabu bahawa beliau yakin satu perjanjian mungkin dicapai ‘tetapi ia akan mengambil lebih banyak usaha.’

    Menteri Luar Negeri Kanada, Chrystia Freeland bercakap kepada media ketika tiba di Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat di Washington kelmarin. – AP

    Freeland dijangka pulang ke Kanada untuk sidang kemuncak 17 menteri luar wanita dan pada minggu depan beliau dijangka menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, bermakna masih tidak jelas bila rundingan NAFTA mungkin diteruskan.

    Bagaimanapun, pada bulan lalu beliau memendekkan satu lawatan Eropah untuk pulang ke Washington.

    Presiden AS Donald Trump, yang menganggap NAFTA ‘salah satu perjanjian perdagangan paling teruk dalam sejarah,’ menuntut perjanjian 1994 diubah dan rundingan bermula setahun lalu.

    AS dan Mexico memeterai perjanjian mereka sendiri pada akhir Ogos, selepas mencapai perjanjian mengenai syarat-syarat isi kandungan kereta dan berhasrat menandatangani perjanjian pada 1 Disember, apabila Presiden dipilih Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menerajui tampuk pentadbiran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda