Rundingan pelan de-escalation minggu hadapan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Susulan satu kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, tahap de-escalation masih seperti apa yang dikuatkuasakan pada masa ini dan Kementerian Kesihatan akan memikirkan kemudian mengenai pelan de-escalation selanjutnya, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

“Ketika ini, saya rasa ada 13 kontak terdekat (daripada kes 142 yang sudah menjalani swab), dan seramai 90 orang akan diuji lagi,” jelasnya lagi semasa sesi soal jawab di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa perundingan-perundingan dengan kementerian lain mengenai pelan de-escalation akan berlangsung pada minggu hadapan.

Sehubungan itu, ketika ditanya mengenai adakah perundingan tersebut akan melibatkan isu seperti perjalanan atau pembukaan sempadan, beliau menjelaskan isu sempadan tersebut seperti yang diterangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua baru-baru ini, bahawa terdapat pasukan petugas khas yang menangani prosedur berkenaan, yang mana mereka yang akan menentukan nanti bila sempadan akan dibuka semula.

“Kalau ada pun seperti Green Lane yang disebutkan sebelum ini, ia akan lebih seperti susunan (arrangement) G2G. Apa sahaja susunan di antara kerajaan dengan kerajaan akan menjadi dinamik.

“Kalau ada penularan yang terjadi di antara mana-mana negara (yang terlibat), jika antara salah sebuah negara tidak selesa mengenainya, ia (peraturan) akan berubah jua,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Walau bagaimanapun, belum ada ketetapan mengenai perkara berkenaan menurutnya lagi.